SEREMBAN – Peniaga santan terpaksa menaikkan harga santan berikutan kenaikan harga kelapa secara mendadak dan dijangka perkara itu akan berlarutan menjelang Ramadan.
Seorang peniaga santan, U.Mishen, 27, berkata, kenaikan harga santan tidak dapat dielakkan dan dia tiada pilihan selain terpaksa menjual santan pada harga RM13 sekilogram.
“Tapi memang tidak untunglah. Kalau dulu saya jual RM10 sekilogram, tapi sejak bulan lalu saja jual RM13 dan itu pun ramai pelanggan yang
merungut.
“Kalau santan biasa saya jual RM8 sekilogram dan sekarang rata-rata kedai lain jual RM12. Saya jangka harga ini akan naik lagi,” katanya.
Jelas Mishen, bekalan kelapa kampung kini sukar diperoleh sehinggakan pembekal terpaksa mendapatkan stok kelapa dari Indonesia untuk menampung permintaan.
“Peningkatan tersebut berlaku disebabkan ketika ini musim melawas yang menyebabkan buah kelapa tidak menjadi.
“Ia bukanlah kali pertama berlaku dan biasanya akan terjadi 10 tahun sekali,” katanya yang mengusahakan perniagaan santan milik keluarga sejak 10 tahun lalu.
Tinjauan Kosmo! mendapati harga bagi satu kilogram santan ialah RM12, manakala pati santan pula antara RM13 ke RM15.
Difahamkan ada di tempat lain di daerah ini yang menjual pati santan sehingga
RM18 kg.
Rata-rata peniaga mengakui terpaksa menaikkan harga santan sejak hujung tahun lalu selepas pembekal menaikkan harga sebiji kelapa sehingga RM3.50 hingga RM4.
Peniaga santan, Ng Bee Chooi, 69 pula berkata, bekalan buah kelapa kampung agak sukar diperoleh sekarang dan dia terpaksa mengimportnya dari Indonesia.
“Kelapa dari Indonesia agak mahal, tapi kami tiada pilihan, malah pelanggan saya rata-rata orang Melayu yang gunakan santan dalam masakan mereka.
“Pelanggan merungut harga naik sehingga kami serba salah untuk jual mahal, tetapi untung kami pun sedikit,” katanya.














