fbpx
YEE HAN aktif bermain yoyo sejak sedekad lalu.

Yee Han kuasai lebih 500 trik yoyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM era teknologi moden ketika ini, Aw Yee Han menemui kegembiraan melalui hobi klasik yang mungkin dianggap ketinggalan zaman oleh sesetengah orang iaitu bermain yoyo.

Minatnya tercetus pada tahun 2015 setelah terkesima melihat video di YouTube yang memaparkan pemain-pemain yoyo tangkas melakukan pelbagai helah dengan menggunakan cakera bulat dan tali.

Meskipun baru berusia 13 tahun ketika itu, anak jati Johor tersebut tetap berusaha untuk mendapatkan yoyo untuk mempelajari trik pertamanya, sleeper.

Untuk pengetahuan, sleeper merupakan teknik paling asas, di mana yoyo dibiarkan berputar di hujung tali untuk tempoh tertentu sebelum ditarik kembali ke tangan.

Menurut Yee Han, cabaran bermain yoyo bergantung kepada keperluan koordinasi tangan dan mata, ketepatan pergerakan serta kesabaran untuk menguasai sesuatu teknik.

“Waktu sekolah dulu, saya tinggal di Johor tetapi bersekolah di Singapura.

“Jadi, saya manfaatkan masa perjalanan ke sekolah untuk mempelajari trik yoyo.

“Semakin lama, saya mula belajar dan menguasai trik lebih rumit dengan penambahan elemen-elemen baharu ke dalam setiap trik tersebut,” katanya kepada K-Remaja baru-baru ini.

Mengulas mengenai trik kegemarannya, pelajar Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Sunway University College itu memaklumkan, dia suka melakukan ‘eil-hop mendatar dengan pusingan badan 360 darjah’.

Trik tersebut menyaksikan yoyo bergerak secara mendatar sebelum melonjak dari tali, sementara pemain melakukan putaran penuh 360 darjah sambil mengekalkan gerakan mendatar yoyo tersebut.

Kini, setelah 10 tahun mengamalkan hobi tersebut, anak sulung daripada tiga beradik itu sudah berjaya menguasai lebih 500 trik yang ditiru, diubah suai dan ditambah baik.

SEBAHAGIAN koleksi yoyo milik Yee Han.

Pemuda berusia 23 tahun berkenaan juga pernah menewaskan kira-kira 30 pesaing lain untuk memenangi tempat kedua dalam Kejohanan Yoyo Malaysia 2018.

Kongsi Yee Han, dia juga sering dijemput membuat persembahan yoyo kepada orang awam di festival-festival komuniti di seluruh Semenanjung.

“Saya berhasrat untuk mempelbagaikan lagi trik supaya dapat memberi kelainan kepada penonton pada setiap persembahan.

“Cita-cita saya pada satu hari nanti adalah untuk membuat persembahan di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, Johor Bahru,” katanya.

Mengulas mengenai koleksi yoyo miliknya, Yee Han mendedahkan, dia memiliki lebih kurang 50 biji yoyo pelbagai saiz, reka bentuk dan warna.

Biarpun tidak aktif mengumpul seperti dahulu, namun pemuda yang bekerja sambilan dengan perusahaan milik bapanya itu tetap menyimpan koleksi sedia ada dengan rapi.

Harga yoyo paling mahal yang berada dalam simpanannya adalah bernilai lebih kurang RM1,000

Katanya, yoyo tersebut merupakan hasil pertukaran dengan seorang pemain yoyo dari Taiwan yang ditemuinya pada Kejohanan Yoyo Asia Pasifik 2017.

“Harga pasaran untuk sebiji yoyo berbeza dan bergantung pada material, saiz, warna, reka bentuk dan lokasi pengilangannya.SEBAHAGIAN koleksi yoyo milik Yee Han.

“Namun, jika ditanya saya tentang fungsi, semua sama sahaja. Ia tidak memberikan perbezaan yang ketara sekiranya sudah mahir bermain,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN