fbpx
Dunia Gen Z lebih kompleks dengan cabaran digital dan tekanan sosial yang tidak pernah wujud dahulu. - GAMBAR HIASAN

Gen Z perlu dirai, bukan dikeji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GENERASI Z (Gen Z) yang tumbuh mekar di bawah pancaran cahaya teknologi dan dikelilingi derasnya arus globalisasi, sering menjadi topik perbualan penuh kontroversi.

Mereka dipuja sebagai generasi pemecah batas, penuh inovasi dan keberanian, namun di sisi lain, ada yang mencela mereka sebagai generasi yang rapuh, mudah tertekan, dan jauh daripada sifat tahan lasak nenek moyang.

Persoalannya, apakah benar Gen Z ini terlalu lemah? atau, adakah mereka sebenarnya beradaptasi dengan dunia yang menuntut kelincahan mental dan emosi?

Dalam era norma terus berubah dan tekanan sosial semakin menggila, barangkali sudah tiba masanya kita melihat Gen Z bukan dari kaca mata stereotaip semata, tetapi dengan pemahaman yang lebih mendalam.

Menurut Pakar Psikologi dan Kaunselor Berdaftar, Dr. Raja Kamariah Raja Mohd Khalid, tuduhan bahawa Gen Z adalah generasi ‘lemah’ sebenarnya mencerminkan ketidakfahaman masyarakat terhadap dinamika baharu yang sedang terbentuk.

Katanya, dalam dunia penuh ketidaktentuan politik, krisis ekonomi, serta tekanan teknologi, generasi ini hakikatnya dilihat lebih berani menangani emosi secara terbuka.

“Keterbukaan terhadap isu kesihatan mental adalah tanda keberanian. Generasi ini tidak takut meluahkan cabaran serta terbuka mencari sokongan.

“Pendekatan ini, pada jangka panjang, membentuk daya tahan emosi yang lebih kukuh,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, persepsi bahawa Gen Z ‘lemah’ tidak boleh dilihat tanpa mempertimbangkan konteks hidup mereka yang membesar dalam era globalisasi dan digitalisasi sekali gus bukan sekadar membuka peluang baharu, tetapi turut membawa cabaran besar.

“Media sosial menyebabkan individu sering memban­dingkan diri dengan orang lain. Tanpa bimbingan, fenomena ini boleh membawa kepada kemurungan, dan ketakutan tidak berasas.

“Cabaran seperti ini menjadikan tekanan emosi mereka lebih besar berbanding generasi sebelumnya,” ujarnya.

Dr. Raja Kamariah berkata, generasi terdahulu mungkin memendam perasaan sebagai cara menangani tekanan, namun Gen Z pula mengadaptasi pendekatan lebih terbuka.

Katanya, pengetahuan psikologi yang mudah diperoleh menjadikan generasi ini lebih matang dalam memahami emosi mereka.

“Generasi dulu lebih cende­rung kepada emotional suppression. Kajian menunjukkan memendam perasaan boleh membawa kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental.

“Gen Z, sebaliknya, memilih pendekatan empowerment-oriented, yang menggalakkan mereka menghadapi cabaran secara konstruktif.

“Walaupun cara Gen Z menangani tekanan berbeza, ini adalah perkembangan positif yang tidak wajar disalah tafsir sebagai kelemahan,” ujarnya.

Katanya, naratif bahawa mereka ‘lemah’ perlu diubah agar tidak menjadi racun psikologi kepada orang muda.

“Pandangan bahawa mereka lemah kerana pilihan gaya hidup adalah stereotaip.

“Dunia mereka lebih kompleks dengan cabaran digital dan tekanan sosial yang tidak pernah wujud dahulu.

“Seharusnya mereka dirai, bukan dikeji,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN