KOTA TINGGI – Seorang wanita yang lemas bersama anak saudaranya ketika mandi di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai, Pengerang di sini, kelmarin, sempat membuat panggilan video kepada suaminya beberapa minit sebelum dia turun ke pantai.
Abu Mansur Ahmad Musa, 43, berkata, isterinya, Siti Fatimah Jaafar, 33, bersama kira-kira 20 ahli keluarga datang ke tempat peranginan itu sejak Isnin lalu untuk bercuti bersama keluarga sebelah wanita itu.
Katanya, ketika kejadian dia tiada di lokasi kerana pulang ke rumahnya di Sungai Tiram untuk mengambil barang milik mangsa.
“Kira-kira pukul 5 petang, isteri hubungi saya melalui panggilan video. Saya pelik juga kerana biasanya dia telefon seperti biasa dan tidak pernah buat panggilan video.
“Ketika itu, muka dia nampak betul-betul cantik dan dia juga berpesan supaya saya tidak lupa ambil barang-barangnya. Saya pula bertanya keadaan anak-anak dan dia cakap semuanya dalam keadaan okey.
“Saya juga sempat mengusiknya suruh dia cakap ‘i love you’, tapi dia beritahu malu kerana ramai orang sebelum perbualan kami terhenti,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini semalam.
Selain Siti Fatimah, turut lemas dalam kejadian itu ialah anak saudara mereka, Nur Arisya Hanan Mohd Salleh, 13.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, beberapa minit kemudian, dia mendapat panggilan daripada anak saudaranya yang memaklumkan anaknya serta tiga anak buahnya yang lain lemas.
“Ketika itu saya sempat tanya keadaan isteri dan anak saudara beritahu isterinya masih ada.
“Saya beritahu kepada kepada anak saudara agar tenang dan pesan kepada isterinya supaya jangan cemas. Dalam keadaan kelam kabut mahu pergi ke sana, saya terima panggilan dari anak saudara memaklumkan Mak Tam (isteri) lemas.
“Rupanya isteri lemas disebabkan mahu selamatkan mereka yang lemas walaupun dia tidak pandai berenang, “ katanya.
Abu Mansur berkata, arwah merupakan isteri dan ibu yang sangat baik, bahkan semua orang di sekelilingnya amat menyayanginya memandangkan dia juga orang yang suka bersedekah.
“Memang banyak perubahan pada dirinya dua tiga minggu ini antaranya setiap kali lepas solat, dia akan menangis dan cium peluk anak-anaknya,” katanya.
Terdahulu, percutian 20 ahli keluarga di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai, Pengerang di sini, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka mati lemas ditelan ombak.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerusi Kaunter Aduan Balai Polis Bayu Damai menerima makluman mengenai kejadian lemas di pantai berkenaan sebelum bergegar ke lokasi kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati enam daripada mereka turun ke kawasan pantai untuk mandi-manda sebelum mereka dihanyutkan ombak besar.
“Menyedari situasi itu, seorang lelaki berusia 60 tahun yang juga mempunyai pertalian persaudaraan telah cuba untuk membantu, namun naik semula ke pantai disebabkan ombak yang kuat.
“Semua mangsa berjaya dibawa naik ke darat oleh pasukan penyelamat dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Dua daripadanya tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.














