PETALING JAYA – Pemakluman tiada lagi pemberian tol percuma sempena musim perayaan bermula tahun ini oleh kerajaan tidak mematahkan semangat orang ramai untuk pulang ke kampung meraikannya bersama keluarga.
Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata tidak kisah dengan berita tersebut dan tetap mahu meraikan sambutan perayaan terutama Hari Raya Aidilfitri di kampung kerana suasananya lebih meriah.
Seorang penjawat awam, Nurhanani Mohd. Fahmi, 38, berkata, tahun ini dia akan meraikan Aidilfitri bersama keluarga suaminya di Kota Bharu, Kelantan dan akan membuat tabungan awal selepas pengumuman ketiadaan tol percuma itu.
“Kampung saya di Hulu Langat dan suami di Kota Bharu. Setiap tahun akan balik ke sana dulu, walau apa pun terjadi, tetap akan balik kampung kerana suasananya
meriah disebabkan semua keluarga berkumpul.
“Kerajaan sudah melaksanakan tol percuma pun baru beberapa tahun sahaja. Kami okey, boleh menabung lebih sikit untuk belanja perjalanan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang guru, Husni Arafat Abdul Malek, 39, pula berkata, dia dan suami serta anak-anak tetap akan balik kampung pada Aidilfitri tahun ini kerana semangat kebersamaan dengan keluarga mengatasi soal tiada pemberian tol percuma.
Katanya, walaupun berita itu mungkin menambah sedikit kesulitan logistik atau kos kewangan, namun nilai kekeluargaan dan tradisi lebih penting.
“Hari raya tentang berkumpul bersama orang tersayang, memelihara hubungan kekeluargaan dan merayakan detik istimewa bersama mereka.
“Walaupun ada cabaran seperti kos perjalanan atau tiada tol percuma, semangat perayaan dan kebersamaan tetap mengatasi segalanya,” katanya.
Katanya, perjalanan balik kampung menjadi lebih bererti apabila ia dilihat sebagai usaha untuk menjaga hubungan keluarga yang sudah lama terjalin.
Suri rumah, Fariza Mansor, 40, berkata, keputusan kerajaan itu tidak memberi kesan kepadanya memandangkan dia sekeluarga biasa pulang lebih awal ke kampung, sekali gus tidak menikmati tol percuma sebelum ini.














