fbpx
TRUMP pada majlis mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-47 baru-baru ini.

Fenomena Trump 2.0 yang mendebarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MAJLIS mengangkat sumpah Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47 pada 20 Januari lalu agak mendebarkan masyarakat dunia khususnya yang terlibat secara langsung dalam perniagaan berkait dengan negara Uncle Sam itu.

Polisi-polisi yang dilaksanakan semasa memegang jawatan presiden ke-45 (2017-2021) terutama tarif yang dikenakan terhadap negara China menyebabkan ramai yang tertunggu-tunggu apakah beliau akan sekali lagi bertindak dengan cara yang sama atau lebih drastik berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun majlis mengangkat sumpah yang disaksikan secara langsung oleh lebih 24.6 juta orang dari seluruh dunia itu kelihatannya melegakan termasuk indeks saham-saham utama di AS dan dunia yang pada mulanya agak panik kembali rancak diurusniagakan.

Perintah-perintah eksekutif yang diumumkan juga bersifat selektif yang lebih menjurus kepada matlamat dan hala tuju beliau menerajui sebuah negara paling berkuasa di dunia itu.

“Saya diselamatkan tuhan untuk menjadikan Amerika hebat semula,” ujar beliau yang mencatat sejarah presiden AS paling tua yang memegang jawatan tersebut pada usia 78 tahun.

Bermula hari ini, umum masih menunggu tindakan beliau untuk menekan beberapa negara seperti China, Kanada, Mexico serta Kesatuan Eropah dalam isu tarif yang pastinya sedikit sebanyak menyebabkan ketidaktentuan ekonomi.

Begitu juga dengan dasar kawalan terhadap imigran dengan mengemukakan enam perintah eksekutif atas alasan bagi melindungi rakyat AS daripada sebarang masalah kemasukan dan kehadiran mereka.

Apa yang pasti kawalan pihak berkuasa di sempadan serta beberapa undang-undang dan peraturan berkaitan dengan imigran kembali diperketatkan termasuk status
kanak-kanak imigran yang lahir di bumi AS.

Meskipun agak lucu apabila Trump sebelum ini menyatakan mahu mengambil alih kawalan terhadap Terusan Panama, namun ternyata beliau menegaskan sekali lagi bahawa apa yang dimaksudkan itu adalah serius.

Hanya masa dan keadaan sahaja yang akan menyaksikan apa yang akan berlaku kepada terusan yang merupakan salah satu daripada tujuh keajaiban dunia moden dan dikendalikan oleh Republik Panama sejak 25 tahun lalu itu.

Apa pun yang diperkatakan, 170 juta pengguna TikTok di AS kembali ceria apabila Trump menangguhkan sekatan selama 75 hari lagi bagi memberi ruang ByteDance menjual pegangan subsidiari AS kepada pembeli bukan asal China.

Jangan dilupa, Trump juga mempunyai akaun TikTok dengan lebih 2 juta pengikut serta memanfaatkan media sosial itu untuk berkempen. Selamat bertugas Trump, semoga dunia baik-baik sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN