fbpx
APABILA seseorang diisytihar muflis, dia perlu bertenang dan pergi ke Jabatan Insolvensi bagi mendapatkan struktur bayaran bulanan. – Gambar hiasan

Bank bukan along, masih boleh bawa berbincang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ramai di luar sana tidak me­nyedari kewujudan 4PM dalam membantu mereka yang ingin membebaskan diri daripada belenggu hutang termasuk muflis. Boleh ceritakan sudah berapa lama 4PM ditubuhkan dan peranan sebenar dalam isu ini?

NUR FARAAINE: Sebenarnya, kewujudan 4PM sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah mencecah usia hampir 12 tahun.
Dahulu kami mula dikenali daripada ‘mulut ke mulut’ menerusi mereka yang pernah berurusan dan dibantu untuk membebaskan diri daripada kemelut hutang kerana pada waktu itu belum ada lagi media sosial se­perti sekarang.
Selepas media sosial mula mendapat tempat dalam kala­ngan masyarakat di negara ini, nama kami mula dikenali di ­Facebook dan sekarang, 4PM semakin aktif dan lebih dikenali di aplikasi TikTok.
Peranan utama 4PM adalah kita sebagai ‘lidah’ serta suara kepada peminjam yang mempu­nyai masalah melunaskan hutang untuk berbincang dengan pihak bank atau syarikat kredit bagi mendapatkan penyelesaian terbaik antara kedua-dua pihak.

Sudah berapa ramai pe­minjam kewangan yang ­muflis telah dibantu oleh 4PM setakat ini dan berapa ramai yang berjaya dibebaskan daripada status muflis?
Sejak tahun 2013, lebih kurang 2,000 kes telah kami bantu dan selesaikan selepas peminjam datang kepada kami kerana buntu bagaimana untuk mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
Kami berjaya membebaskan peminjam tersebut daripada status muflis dan kini mereka kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini.

Apakah yang perlu dilakukan oleh peminjam yang diisytiharkan muflis yang mana kebanyakan mereka berasa tertekan dan berada dalam kemurungan?
Perkara pertama yang mereka perlu lakukan ialah bertenang selepas nama diisytiharkan muflis ekoran kegagalan membayar balik pinjaman yang dibuat.
Benar, apabila mendapat tahu diri berstatus muflis, peminjam akan berasa tertekan atau berada dalam ketakutan.
Di sini, kita nasihatkan mereka agar tidak mengeruhkan lagi keadaan dan perlu bertenang sebelum mengambil langkah seterusnya.
Jadi, dalam hal ini apabila mereka datang kepada 4PM, kita akan menasihatkan mereka agar bertenang, pergi ke Jabatan Insolvensi dan mengisi borang pengisytiharan untuk mendapatkan struktur bayaran bulanan dalam usaha melepaskan diri daripada status muflis.


NUR FARAAINE memaklumkan, masalah bebanan hutang pinjaman peribadi paling banyak diselesaikan oleh 4PM.

Apakah bentuk bantuan yang dikendalikan oleh 4PM bagi membantu peminjam yang dibelenggu hutang termasuk dibebani kadar faedah yang terlalu tinggi, selain caj-caj tidak masuk akal?
Kami di 4PM akan mengadakan perbincangan dengan pihak bank mewakili peminjam yang mempunyai masalah untuk membayar balik ansuran bulanan hutang mereka.
Perkara utama yang kita minta ialah supaya pihak terbabit meminta pemungut hutang yang dilantik menghentikan gangguan kepada peminjam.
Sebagaimana kita maklum, peminjam yang gagal membayar hutang ini memang akan sentiasa diganggu oleh pemungut hutang.
Selepas itu, apa yang kita lakukan adalah meminta baki hutang yang terendah. Biasanya nilai pokok tidak boleh diberi diskaun, jadi caj seperti faedah berlebihan itu kita akan minta supaya dilupuskan.
Jumlah dilupuskan bergantung sama ada pihak bank mahu melupuskan 100 peratus ataupun dapat pengurangan seba­nyak 50 peratus.
Kemudian kita akan aturkan untuk peminjam dapat membayar semula pinjaman mengikut kemampuan mereka.

Apakah jenis hutang yang paling banyak dibantu 4PM, contohnya pinjaman perumahan, kad kredit dan sebagai­nya serta kaedah bantuan yang diberikan?
Sepanjang tempoh NGO ini ditubuhkan, peminjam dengan masalah bebanan hutang pinjaman peribadi paling ramai kami uruskan dan bantu mereka untuk mencari penyelesaian terbaik, selain hutang kad kredit dan pinjaman kenderaan.
Apabila hutang-hutang menjadi tertunggak, kita perlu me­ngadakan perbincangan dengan pihak bank bagaimana hendak mengatur bayaran semula dan membuat rundingan supaya kadar faedah dapat dilupus atau diberikan diskaun.

Berhubung isu lelongan kediaman yang diambil oleh pihak bank kepada peminjam yang bermasalah untuk membayar balik pinjaman, adakah mereka menyedari tindakan sivil dan lelongan oleh pihak bank berkenaan?
Kebiasaannya bagi pinjaman perumahan, peminjam akan menerima ‘letter of demand’ sekiranya bayaran tertunggak selama tiga bulan.
Jika peminjam gagal membayar hutang seperti diminta, mereka akan menerima lagi surat tersebut yang biasanya dihantar sebanyak tiga kali.
Jadi, biasanya peminjam tahu ada risiko rumah mereka boleh dilelong jika gagal membayar pinjaman mengikut tempoh yang ditetapkan oleh pihak terbabit.

Apa yang dilakukan oleh 4PM dalam membantu mereka yang menghadapi masalah rumah yang bakal dilelong oleh pihak bank?
Dalam hal ini, kami akan membantu peminjam dengan cara berjumpa dengan pihak bank untuk kita mengetahui berapakah jumlah tuntutan yang diminta.
Jadi, peminjam perlu menyediakan sejumlah bayaran ­atau pun wang muka yang biasanya bernilai 20 hingga 50 peratus daripada jumlah tunggakan.
Bayaran itu diperlukan sebelum pihak bank menarik tindakan lelong terhadap kediaman peminjam.
Bagi peminjam di negeri Selangor, ada beberapa bantuan yang boleh mereka dapatkan untuk berdepan masalah seperti hilang tempat tinggal disebabkan hutang ini.
Jadi, peranan 4PM di sini ialah kita yang akan membantu peminjam mendapatkan penyelesaian supaya mereka dapat menyelamatkan rumah daripada dilelong dan membayar semula pinjaman.

Adakah terdapat kes bank atau syarikat kredit sewenang-wenangnya melupuskan harta dan membankrapkan pe­minjam dan penjamin tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan tindakan 4PM dalam mena­nganinya?
Biasanya tiada tindakan yang diambil oleh pihak institusi kewangan yang tidak mengikut SOP, tetapi ada beberapa kes yang mana peminjam tidak te­rima surat amaran, mungkin di­sebabkan mereka berpindah dan tidak mengemas kini alamat.

Selain membantu peminjam bermasalah dengan pihak bank dan institusi kewangan, adakah 4PM turut membantu mereka yang ada masalah dengan ceti haram atau along, kalau ada berapa banyak kes yang sudah diselesaikan?
Pada awal penubuhan 4PM yang dipimpin oleh Allahyarham bapa saya, Rosland Mohd. Arif, sebelum ini, memang pernah beliau membantu mereka yang mempunyai masalah de­ngan along.
Namun setelah memikirkan ia tidak begitu selamat untuk dite­ruskan, kita menghentikan urusan tersebut.
Jadi, atas faktor tersebut, arwah bapa saya tekad untuk memberikan penekanan kepada kepada masalah peminjam yang berhutang dengan bank sahaja.
Sekiranya ada yang datang kepada kami dan mahu meminta bantuan berkaitan ceti haram, biasanya kami akan membantu menghubungkan mereka dengan NGO lain yang lebih berpengalaman dalam masalah berkenaan seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Apakah nasihat kepada orang ramai agar tidak terjerumus dengan hutang yang sukar untuk dilunaskan?
Bagi saya, apa yang penting apabila hendak membuat pinjaman, pastikan buat kira-kira yang lengkap dari segi pendapatan, perbelanjaan serta berapa baki yang tinggal selepas ditolak per­belanjaan penting.
Dari situ kita boleh nampak, adakah kita mampu untuk membayar semula hutang yang bakal dibuat nanti.
Selain itu, sekiranya membuat hutang, elakkan daripada amalan ‘gali lubang, tutup lubang’ iaitu buat hutang baharu untuk tutup hutang lama.
Ini kerana, perkara itu akan menyebabkan anda mengalami kerugian dan sukar untuk melepaskan diri daripada belenggu hutang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN