PERKAHWINAN yang dibina atas dasar cinta antara satu sama lain akhirnya musnah kerana orang ketiga. Itulah yang dialami oleh seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Zarina.
Jelas Zarina, suaminya telah berlaku curang di belakangnya dengan menjalin cinta bersama wanita lain.
“Saya tidak sesekali menyangka bahawa suami yang saya cintai sepenuh hati akan mengkhianati saya dengan menjalin hubungan bersama wanita lain.
“Kami berdua bercinta ketika sama-sama menuntut di universiti lagi,” katanya yang kini berusia hujung 20-an.
Setelah tamat pengajian, Zarina dan suaminya mengambil keputusan untuk berkahwin. Mereka berdua kemudian dikurniakan cahaya mata setelah setahun mendirikan rumah tangga.
Apabila usia anaknya masuk lima tahun, dia dan suaminya mengambil keputusan untuk menghantar cahaya mata mereka itu ke sebuah tadika swasta.
“Di sinilah bermulanya kisah kecurangan suami saya di mana dia menjalin hubungan dengan salah seorang cikgu tadika anak saya.
“Tidak dapat dinafikan cikgu itu memiliki raut wajah yang cukup menawan dan itu mungkin menjadi salah satu faktor suami saya jatuh hati kepadanya,” jelasnya.
Pada awalnya, Zarina yang sering menghantar dan mengambil anaknya dari tadika. Ada ketikanya suaminya yang akan memikul tanggungjawab tersebut.
Tetapi, setelah hampir enam bulan anaknya bersekolah, Zarina mendapati suaminya dengan rela hati memilih untuk menghantar dan mengambil anak mereka.
“Sebelum ini dia jarang untuk menghantar dan mengambil anak di sekolah dan dia akan menyuruh saya untuk berbuat demikian.
“Tetapi selepas itu dia dengan rela hati tanpa disuruh mengambil tugas tersebut dan itu yang menghairankan saya,” ujar Zarina.

Akhirnya, hubungan suaminya dengan cikgu tadika itu terbongkar apabila Zarina melihat telefon pintar suaminya.
Dia terbaca perbualan suaminya bersama wanita itu di satu aplikasi.
“Ketika saya melihat telefon pintar suami, saya melihat ada satu aplikasi sembang yang jarang digunakan dan mungkin dia terlupa untuk memadam aplikasi itu apabila tiba di rumah.
“Apabila saya membuka aplikasi itu saya terkejut melihat perbualan mereka yang cukup mesra dan saya mengenali gambar wanita di aplikasi itu.
“Dalam keadaan marah, saya bertanya akan hal tersebut kepada suami saya dan dia seperti tidak dapat untuk berkata-kata,” ulas Zarina.
Akhirnya, suami Zarina mengakui akan hubungan tersebut dan meminta maaf kepada Zarina. Kata suami, dia hanya suka-suka menjalinkan hubungan tersebut. Suaminya berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan itu lagi.
Malah, Zarina turut melaporkan hal tersebut kepada pihak pengurusan tadika sehingga guru itu kemudian diambil tindakan dan diberhentikan kerja.
“Saya ingat hal ini selesai, tetapi tidak. Dalam diam, suami saya rupanya masih menjalin hubungan dengan wanita tersebut.
“Rakan saya melihat suami saya ada keluar dengan wanita lain siap berpegang tangan dan dia mengambil gambar lalu menghantarnya kepada saya untuk dijadikan bukti.
“Suami saya juga sanggup mengambil cuti semata-mata ingin keluar dengan wanita tersebut,” ujar Zarina.
Zarina kemudian menunjukkan gambar tersebut kepada suaminya untuk mendapatkan penjelasan.
Suaminya mengakui masih menjalin hubungan dengan wanita tersebut dan menyatakan keinginan untuk memperisterikannya.
“Suami saya mengakui bahawa dia amat menyayangi wanita itu dan mahu menjadikannya sebagai isteri yang sah.
“Dia meminta kebenaran saya untuk berpoligami dan berjanji untuk berlaku adil,” kata Zarina.
Zarina tidak boleh menerima hal tersebut dan dia sesekali tidak mahu suaminya berpoligami.
Dia memberi kata dua kepada suaminya sama ada memilih dirinya atau wanita tersebut.
Jika suaminya memilih wanita tersebut dia meminta dirinya untuk dilepaskan.
“Suami saya lebih memilih wanita tersebut dan dia sanggup untuk melepaskan saya.
“Akhirnya kami berdua mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing dan sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang,” katanya.















