PERSIAPAN beregu lelaki negara,Wan Arif Junaidi-Yap Roy King berada pada tahap terbaik untuk membuat penampilan pertama mereka menjelang Terbuka Malaysia yang membuka tirai bermula 7 hingga 12 Januari ini.
Arif-Roy King yang mempunyai pengalaman bersaing pada kejohanan berstatus Super 1000 di Terbuka China tekad memberikan sehabis baik terutama beraksi di hadapan penyokong Malaysia.
Bagi Roy King, mereka sudah melakukan persiapan yang cukup rapi dan sentiasa meningkatkan kemampuan terutama latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara agar mampu memberikan persembahan cukup baik pada kejohanan itu nanti.
“Sememangnya kita rasa sangat teruja sebab minggu depan sudah bermula Terbuka Malaysia. Sekarang kita sudah mula dapatkan momentum untuk kejohanan ini.
“Dari segi persiapan, kami sudah berada di tahap tertinggi serta bersedia untuk beraksi nanti dan berharap akan dapat keputusan yang baik nanti,” katanya ketika ditemui di ABM semalam.
Sementara itu, Arif tidak gentar meskipun akan beraksi di Super 1000 dan menganggap lawan yang mereka bakal bertemu nanti sama seperti sebelum ini.
“Kita akan lawan saja sebab Terbuka Malaysia sama seperti kejohanan sebelum ini, tiada apa yang istimewa cuma bezanya beraksi di tempat sendiri.
“Super 1000 memang besar sebab kita pernah bermain di Terbuka China. Kita akan menikmati kejohanan ini dan keluarkan strategi yang kita ada,” katanya.
Untuk rekod, pencapaian terbaik beregu ke-23 dunia itu adalah muncul naib juara Masters Sepanyol (Super 300) dan separuh akhir Masters Malaysia (Super 750) tahun lalu.
Kali terakhir Malaysia meraih kejuaraan bagi acara beregu lelaki Terbuka Malaysia melalui gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah pada 2014.














