fbpx
Masykuri menunjukkan pagar kandang kambing yang dirobohkan sekumpulan anjing liar di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut semalam.

Kambing, lembu diserang anjing ‘zombi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BESUT – Serangan anjing liar ke atas haiwan ternakan hingga mati sejak dua bulan lalu diibaratkan sebagai ‘zombi’ yang mengu­ndang resah kepada beberapa penternak apabila mendatangkan kerugian bukan sahaja wang, malah binatang peliharaan.

Ancaman itu turut mengancam keselamatan penduduk Kampung Alor Peroi di sini, apabila anjing dikatakan bertindak ganas menyerang kambing, anak lembu dan itik di dalam kandang dengan mengorek lubang pada pagar.

Salah seekor anjir liar yang berkeliaran di kawasan rumah hingga mengancam keselamatan penduduk Kampung Alor Peroi, Kuala Besut.

Masykuri Ngah, 44, mendakwa, enam ekor kambing peliharaannya mati selepas diserang anjing-anjing itu di dalam kandang.

“Anjing liar itu mengorek lubang berhampiran pagar untuk menceroboh kandang kambing sebelum melakukan serangan pada bulan lalu.

“Ia menyebabkan enam ekor kam­bing ternakan saya mati sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM6,000,” dakwanya ketika ditemui semalam.

Dakwa Masykuri, sebagai penyelesaian mengatasi ancaman anjing liar itu, dia telah berhabis RM10,000 bagi membina benteng kontrik mengelilingi kandang kambingnya.

Tambahnya, selain ­kambing, beberapa haiwan ternakan penduduk lain seperti itik dan anak lembu turut mati menjadi ­mangsa serangan anjing liar ber­kenaan.

Wan Nooraida Daud @ Wan Ahmad, 42, pula mendakwa, kumpulan anjing liar itu cepat membiak daripada hanya dua ekor pada dua bulan lalu kepada kini sudah mencecah hampir 10 ekor.

Dakwanya, anjing liar bagaikan tidak takut dengan manusia dan sering dilihat berkeliaran mencari makanan di segenap kawasan kampung.

“Kami terutama kanak-kanak kini ketakutan untuk keluar rumah kerana bimbang diserang haiwan tersebut.

“Masalah ini sudah diadukan kepada pihak berwajib, namun setakat ini masih tiada jalan penyelesaian,” dakwanya.

Wan Nooraida mendesak isu ancaman anjing liar ini diatasi segera demi keselamatan dan keharmonian penduduk kampung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN