MILTON KEYNES – Ketua Program Pembangunan Pemandu Red Bull Racing, Helmut Marko mengakui kepantasan bukanlah kriteria utama pemilihan Liam Lawson untuk bergandingan dengan Max Verstappen musim depan.
Jika berdasarkan pengalaman, pelumba New Zealand itu boleh dianggap masih mentah memandangkan dia baru sahaja mengharungi 11 perlumbaan dalam saingan Formula Satu (F1) jika dibandingkan dengan rakan sepasukannya di RB, Yuki Tsunoda.
Bagaimanapun, Marko menjelaskan, ketenangan serta aksi konsisten yang ditampilkan Lawson menyebabkan beliau tertarik untuk membawa masuk pelumba berusia 22 tahun itu sebagai pemandu kedua Red Bull.
“Dari segi kepantasan, memang Yuki (Tsunoda) lebih laju jika dibandingkan dengan Lawson. Bagaimanapun, dia tidak memiliki aksi yang cukup konsisten selain kerap melakukan kesilapan dalam perlumbaan.
“Dalam pada itu, sikap panas baran Yuki juga merupakan antara faktor mengapa kami menolaknya walaupun dia sudah memperbaikinya. Dia masih mudah hilang kawalan setiap kali marah menguasai diri,” katanya.
Kenyataan Marko yang juga penasihat Red Bull pastinya tidak disenangi Tsunoda, namun beliau percaya ianya merupakan hakikat sebenar jika dibandingkan dengan Lawson yang lebih tenang dan tidak mudah mengikut emosi.
“Lawson merupakan antara pelumba muda yang memiliki mentaliti cukup kental dan tidak mudah berbangga dengan diri sendiri. Ia berbeza dengan Yuki yang mungkin berdepan emosi jika gagal mengatasi Max (Verstappen),” ujarnya. – AGENSI