fbpx
TUNTUTAN nafkah tertunggak dan sagu hati boleh dikemukakan berserta bukti oleh isteri atau bekas isteri di mahkamah syariah untuk penilaian.

Nafkah jadi hutang jika suami culas bayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Seorang isteri berhak membuat tuntutan nafkah diri yang tertunggak sepanjang perkahwinan sekiranya suami culas dalam menjalankan tanggungjawab.

Peguam Syarie, Shazril Khairy Mustafa berkata, keingkaran suami dalam membayar tunggakan nafkah merupakan penghinaan terhadap mahkamah dan boleh dimasukkan ke penjara.

Menurut Exco Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) itu, sekiranya suami gagal menjelaskan tuntutan tersebut, maka ia akan menjadi hutang yang boleh dituntut terhadap suami.

“Boleh sahaja (tuntutan) difailkan sejak daripada awal perkahwinan sekiranya suami benar-benar tidak memberi nafkah dan ia perlu dibuktikan di mahkamah.

“Bagi tunggakan yang ada perintah mahkamah, boleh lihat jumlah dalam perintah itu. Bagi yang tiada perintah mahkamah boleh mohon ikut nilai yang munasabah dengan perbelanjaan dan keperluan harian isteri berdasarkan kemampuan suami masing-masing,” katanya kepada Kosmo! semalam.

SHAZRIL KHAIRY

Shazril Khairy memberitahu, berdasarkan rekod terkini, ramai golongan isteri yang menfailkan tuntutan nafkah tertunggak daripada suami masing-masing di mahkamah.

“Ia (nafkah) adalah hak isteri. Namun kebanyakannya tiada perintah mahkamah bagi nafkah isteri (yang tertunggak) semasa perkahwinan. Keadaan ini menyukarkan mahkamah untuk mendengar dan menilai bukti-bukti yang dikemukakan oleh si isteri.

“Mahkamah (menilai) berdasarkan yang zahir sahaja dan perlu dibuktikan kecuali ada perintah mahkamah dan suami tetap enggan,” ujarnya.

Antara nafkah tertunggak yang boleh dituntut oleh isteri adalah makan dan minum de­ngan kadar tiga kali sehari, pakaian dan peralatan kegunaan isteri. Antara barangan itu seperti tuala wanita, sabun mandi dan kosmetik bagi memastikan isteri selesa dan bersih.

Bagaimanapun jelas beliau, wang sagu hati (muta’ah) dan nafkah tertunggak merupakan dua tuntutan yang berbeza.

Wang sagu hati adalah berdasarkan sumbangan isteri selama tempoh perkahwinan, manakala nafkah tertunggak pula adalah jumlah yang wajib diberi suami sepanjang tempoh perkahwinan seperti makan, minum, pakaian, keperluan dalaman dan harian isteri.

IRSAMUDDIN

Sementara itu, Peguam Syarie, Irsamuddin Ikhsan membe­ritahu, kegagalan suami atau bekas suami menjelaskan nafkah tertunggak terhadap isterinya setelah diperintahkan oleh mahkamah adalah tindakan menghina mahkamah.

“Oleh itu, suatu prosiding untuk komital (penjara) boleh di­mulakan oleh isteri dan perlu mendapat kebenaran daripada mahkamah terlebih dahulu.

“Jika mahkamah membenarkan untuk satu notis tunjuk sebab dikeluarkan kepada suami maka barulah si suami itu akan hadir ke mahkamah untuk berikan sebab kenapa dia tidak wajar dipenjarakan akibat pelanggaran perintah tersebut.

“Jika mahkamah mendapati bahawa suami sengaja tanpa alasan yang munasabah melanggar perintah mahkamah tersebut, maka si suami tersebut berdepan dengan hukuman penjara yang akan diputuskan oleh mahkamah,” jelasnya.

 

Suami culas wajib bayar walaupun sudah bercerai

GEORGE TOWN – Golongan suami yang culas memberi nafkah kepada isteri ketika dalam tempoh perkahwinan wajib melunaskan tunggakan itu walaupun pasangan sudah bercerai.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, nafkah tertunggak merujuk kepada kewajipan suami yang gagal memberikan nafkah zahir seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan ke­perluan asas yang sepatutnya diberikan semasa perkahwinan.

Menurutnya, sekiranya suami enggan menunaikan tanggungjawab tersebut, maka si isteri berhak menuntut nafkah itu walaupun selepas berlakunya perceraian.

“Ini kerana, nafkah adalah hak isteri yang tidak gugur begitu sahaja. Kewajipan nafkah itu berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah At-Talaq (ayat 7) iaitu hendaklah orang yang mempunyai keluasan memberi nafkah menurut kemampuannya dan orang yang terbatas rezeki­nya hendaklah memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya.

“Bekas isteri berhak menuntut hak ini melalui proses undang-undang atau mahkamah yang sah,” katanya ketika dihubungi semalam.

SEKIRANYA suami enggan menunaikan tanggungjawab, isteri berhak menuntut nafkah walaupun selepas bercerai.

Oleh itu, isteri perlu menyedia­kan bukti seperti tempoh suami tidak memberi nafkah dan ke­perluan asas tersebut.

“Menurut pandangan jumhur ulama, suami yang tidak memberi nafkah wajib melunaskan nafkah tertunggak tersebut walaupun telah bercerai,” ujarnya.

Beliau berkata, mahkamah akan menilai bukti dan menentukan jumlah nafkah tertunggak yang perlu dibayar oleh suami atau bekas suami.

“Jika berlaku sebarang pertikaian, disarankan supaya merujuk kepada Mahkamah Syariah untuk penyelesaian yang adil,” tambahnya.

Semalam Kosmo! melaporkan pelakon Diana Danielle akan menggugurkan tuntutan nafkah tertunggak daripada suaminya, Farid Kamil sekiranya aktor itu bersetuju melepaskannya.

Bagaimanapun, Diana dilaporkan berkata, buat masa ini, dia akan meneruskan tuntutan tersebut kerana Farid dilihat tidak memberi kerjasama dalam urusan permohonan perceraian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN