Tahun 2024 hanya berbaki beberapa hari lagi, namun kisah mengenai bola sepak negara tidak pernah berakhir.
Seawal Januari lalu, cerita bola sepak negara bermula dengan agak istimewa apabila Harimau Malaya tampil di pentas Piala Asia buat kali pertama sejak menjadi tuan rumah pada 2007.
Walaupun tewas dalam dua aksi awal Kumpulan E kepada Jordan dan Bahrain, Harimau Malaya masih berjaya menuai ‘ole-ole’ di bumi Qatar apabila seri 3-3 dengan gergasi Asia, Korea Selatan. Malah, jaringan Faisal Halim juga dipilih sebagai gol tercantik kejohanan.
Memasuki Mac, bayangan cerita tidak enak mula muncul apabila Harimau Malaya tewas dua kali kepada Oman dalam kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dan sebulan lebih selepas itu, Faisal pula menjadi mangsa simbahan asid.
Begitu juga apa yang berlaku semasa kempen Piala ASEAN kali ini, keputusan kelab memanggil pemain daripada kem pusat bagi perkuatkan pasukan untuk hadapi Piala Malaysia dan Piala Cabaran mencetuskan rasa muak kepada peminat.
Tetapi andai ditanya, pasti ramai yang bersetuju bola sepak negara kini berada dalam fasa peralihan lebih positif.
Bagaimanapun, ia tidak berpaksi kepada keputusan diraih Harimau Malaya, sebaliknya menjurus kepada idea penubuhan unit khas pasukan kebangsaan yang boleh memberi impak lebih baik.
Pada dasarnya, sama ada Harimau Malaya terus ‘diternak’ oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau pun unit khas, destinasi yang mahu dituju tetap sama.
Keputusan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin Hamidin untuk tidak pertahankan jawatannya juga menimbulkan persoalan tentang apa nasib Peta Hala Tuju F:30.
Secara tidak langsung, ia beri panduan jelas kepada presiden yang bakal dilantik nanti khususnya dalam aspek memperkasakan pembangunan dan tidak lagi perlu memikirkan tentang perancangan pasukan kebangsaan.
Bak kata orang, cef terhandal dunia sekalipun tidak mampu menyediakan masakan sedap jika bahan mentahnya tidak berkualiti. Bawalah Pep Guardiola, Jose Mourinho, Carlo Ancelotti atau pun Jurgen Klopp sekalipun, kesemua mereka bukan ahli silap mata
“Apa yang penting rakyat mahu melihat bola sepak negara maju ke depan. Dalam bola sepak semua orang mahu lihat dan bercakap soal DNA.
“Bagaimanapun, saya mahu ingatkan, apa yang penting ialah pembangunan akar umbi. Jika akar umbi tidak tahu hujung pangkal, datanglah DNA dari mana pun, ia tidak akan membantu,” kata bekas pengendali kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan.
Tindakan drastik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta bantuan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menilai keberkesanan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) wajar dipuji kerana membabitkan kepentingan awam.
“Belum (ada apa-apa perkembangan), kita masih tunggu laporan daripada semua pihak. AFC sedang tunggu dan kita harus teliti selepas laporan itu disiapkan, jadi (dalam tempoh) sebulan dua kita akan dapat laporan atau apa-apa perkembangan berkaitan,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John.














