PETALING JAYA – Laman web ePenyata Gaji mengalami gangguan hari ini apabila ramai pengguna mengadu tidak dapat mengakses portal tersebut untuk menyemak gaji bulanan mereka.
Setakat pukul 4 petang, laman tersebut dilaporkan masih tidak dapat dilayari akibat jumlah pengguna yang terlalu tinggi.
“Boleh layari dah ke? Pukul 1 lebih tadi masih tak boleh buka web,” luah Nur Syahirah di media sosial yang kecewa dengan situasi itu.
Pengguna lain, Muhammad Naz Har turut berkongsi pengalaman serupa, “Laman web jem, tak dapat buka,”
Lebih mencuit hati, Hafeezah Almudin sempat berseloroh dengan meminta mereka yang sudah berjaya mengakses laman itu supaya keluar untuk memberi peluang kepada orang lain.
“Web ePenyata jem. Yang dah masuk, silakan keluar. Kami pula nak tengok kenaikan gaji kami. Mana tahu aku dah jadi jutawan,” tulisnya dengan nada gurauan.
ePenyata Gaji merupakan portal rasmi kerajaan untuk memudahkan penjawat awam menyemak penyata gaji secara dalam talian.
Namun, laman tersebut sering berdepan kesukaran diakses menjelang tarikh pembayaran gaji ekoran trafik yang tinggi.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berwajib berhubung isu tersebut. Pengguna disarankan mencuba semula selepas beberapa jam bagi mengurangkan kesesakan. – KOSMO! ONLINE