SAUDARA PENGARANG,
Baru-baru ini, ketika sedang keluar dari sebuah masjid di ibu negara selepas selesai solat Jumaat, penulis terkejut melihat deretan ‘pengemis’ yang beratur meminta sedekah di tepi pagar.
Dari satu segi, timbul perasaan sedih dan simpati dengan nasib yang menimpa golongan ini. Dan penulis yakin, mereka ini bukanlah warga tempatan, sebaliknya warga asing yang menumpang tuah di negara Malaysia.
Ada yang memegang kertas bertulis rayuan untuk meminta sumbangan sambil mata sebelah kanan berbalut. Ada juga yang memegang sijil lusuh untuk meminta sumbangan bagi pembangunan masjid.
Namun, apa yang menjentik naluri kemanusiaan adalah tindakan seorang lelaki yang sedang mengendong anaknya. Anak kecil yang mungkin berusia dua hingga tiga tahun itu dibiarkan dalam keadaan terabai dan penuh sengsara.
Modus operandinya mudah, iaitu untuk meraih simpati orang ramai yang akhirnya diberikan wang. Untung badan, mungkin lelaki itu boleh dapat habuan lumayan.
Persoalan kini, adakah wajar tindakan ‘si bapa’ yang menjadikan anaknya sebagai bahan dagangan semata-mata untuk meraih simpati. Jawapannya tidak. Perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan dilakukan oleh mana-mana manusia.
JEMAAH MASJID
Pantai Dalam, Kuala Lumpur














