KUALA LUMPUR – Cabaran perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China disahkan berakhir selepas dia mengalami kecederaan buku lali.
Pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A menentang pemain tuan rumah, Li Shi Feng sebentar tadi, bekas juara Asia dan All England itu terpaksa menarik diri ketika sedang mendahului 15-11 di set kedua.
Insiden tidak dijangka itu sekali gus meranapkan harapan seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyaksikan kelibat Zii Jia pada kejohanan tersebut di kala dia sudah pun layak ke separuh akhir selepas menang dua aksi terdahulu.
“Zii Jia mengalami kecederaan pada buku lali kanan. Memandangkan dia menarik diri, maka semua keputusan perlawanan terdahulu dibatalkan,” kata Ketua Komunikasi Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Lloyd Green.
Pemain No.8 dunia itu memulakan perlawanan tersebut dengan aksi meyakinkan apabila menang 22-20, namun ketika sedang mendahului 13-4 di set kedua, buku lali kanannya terseliuh ketika mahu membalas pukulan Shi Feng.
Bagaimanapun, berbekalkan semangat juang yang ada, pemain berusia 26 tahun itu cuba untuk meneruskan permainan, namun tidak dapat menahan kesakitan sehingga terpaksa ditolak keluar menggunakan kerusi roda.
Sebelum ini, Zii Jia sudah pun memenangi dua aksi terdahulu dengan menewaskan pemain Taiwan, Chou Tien Chen 21-13, 21-15 selain membenam Anders Antonsen dari Denmark 21-14, 21-19. – KOSMO! ONLINE