BESUT – Inovasi seorang peniaga mencipta putu halba coklat dan keju membuahkan hasil apabila makanan tradisional tersebut laris terjual sehingga mencecah 30 kilogram (kg) sehari sejak akhir bulan lalu.
Noor Sarimatuakhma Mohamad, 41, berkata, dia mula menjual putu halba sejak daerah ini mula dilanda banjir pada 26 November lalu.
“Selain putu halba asli yang dimakan bersama kelapa parut, kali ini saya memperkenalkan perisa coklat dan keju bagi menawarkan kelainan kepada pelanggan.
“Alhamdulillah, jualan putu halba saya meningkat berkali ganda dengan putu halba coklat dan keju diminati pelbagai golongan termasuk kaum Cina,” katanya ketika ditemui di Kampung Raja di sini semalam.
Menurut Noor Sarimatuakhma, putu halba coklat dan keju dijual pada harga RM5 tiga biji, manakala RM5 untuk enam biji untuk putu halba asli.
“Putu halba diperbuat daripada ubi kayu dan ia akan dikukus bersama biji halba manisan atau nisan kerek,” katanya.














