PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dijangka melibatkan hujan lebat di beberapa negeri sehingga Rabu ini.
MetMalaysia memaklumkan bahawa hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Terengganu, melibatkan kawasan Dungun dan Kemaman, serta di Pahang, membabitkan daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan, dan Rompin.
Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan bagi negeri Perlis dan beberapa kawasan di Kedah, seperti Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, dan Baling.
Di Perak, kawasan yang terjejas adalah Hulu Perak, manakala di Kelantan dan Terengganu, ia melibatkan daerah seperti Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, dan Marang.
“Di Pahang, kawasan seperti Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, dan Bera turut diramal mengalami hujan berterusan. Begitu juga di Johor, yang melibatkan kawasan Segamat, Mersing, dan Kota Tinggi,” katanya.
Orang ramai di kawasan terjejas dinasihati untuk berwaspada dan membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir. Orang awam digalakkan memantau keadaan cuaca semasa dan mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi. – KOSMO! ONLINE