ALOR SETAR – Kira-kira 200 keluarga di sekitar Gunung Keriang, di sini belum dapat menghela nafas lega ekoran rumah mereka masih digenangi air berbanding kawasan lain yang mulai surut dalam kejadian banjir hampir seminggu lepas.
Tinjauan mendapati kawasan tersebut yang merangkumi lima buah kampung didapati masih digenangi air pada paras betis.
Menurut salah seorang penduduk, Mahadi Mat Akhir, 58, banjir termenung itu berkemungkinan berlarutan sehingga dua minggu.
“Kami sekeluarga belum dapat balik rumah kerana air masih pada paras paha. Isteri dan anak-anak duduk di Pusat Pemindahan Banjir (PPS) Sekolah Kebangsaan Alor Janggus sejak Jumaat lepas.
“Mungkin minggu depan baru air surut betul-betul seperti kejadian sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Gunung Keriang, semalam.
Kata Mahadi, lima kampung iaitu Kampung Gunung Hilir, Kampung Pekan Nat, Kampung Kepala Bukit, Kampung Hulu dan Kampung Parit dinaiki air dalam kejadian banjir dianggap kedua terburuk selepas 2010.
“Pada petang Jumaat lepas, air tiba-tiba naik dengan deras tetapi mujur sempat naikkan barang-barang elektrik ke tempat tinggi tetapi perabot semua terendam di dalam air lagi.
“Di sini sudah empat kali berlaku banjir buruk iaitu pada 1988, 2005, 2010 dan 2024. Tahun ini kedua terburuk selepas 2010. Seperti selalu air akan termenung antara 10 hari hingga dua minggu,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Yazid Ahmad, 52, berkata, mereka tiga beranak terpaksa berpindah ke PPS sejak Jumaat lepas setelah rumah mula dinaiki air sehingga paras pinggang.
“Banjir selalu di kawasan ini tetapi paras betis sahaja tetapi kali ini teruk juga. Kami terpaksa berpindahlah sebab jalan semua tutup dan demi keselamatan keluarga.
“Hari ini air belum surut lagi di sini walaupun kawasan lain orang semua sudah boleh balik rumah. Mungkin minggu depan boleh balik,” jelasnya.
Sementara itu menurut bendahari masjid di Kampung Sungai Baru Gunung dekat sini, Zul Ahmad Tarmizi Hussin, 58, dia bersama anak kariah masjid itu mula membersihkan kawasan tersebut yang dinaiki air.














