PONTIAN – Seorang remaja berusia 16 tahun meninggal dunia, manakala rakannya mengalami kecederaan parah apabila motosikal Yamaha Y15ZR yang dinaiki terbabas masuk parit dalam kejadian di Kilometer 3, Jalan Sawah-Gunung Pulai, Pekan Nanas, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul kira-kira 12.05 tengah malam tadi ketika mereka dalam perjalanan dari arah Pekan Nanas ke Kulai.
Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian di Kampung Maju Jaya, motosikal dinaiki telah hilang kawalan dan terbabas sendiri ke dalam parit sebelah kiri jalan.
“Akibat dari kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng mendapat kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohammad Shofee, pembonceng yang parah telah dihantar ke Hospital Pontian (HP) bagi menerima rawatan, mangsa yang meninggal dunia juga dibawa ke hospital sama bagi tujuan bedah siasat.
“Setakat ini punca kejadian disebabkan motosikal tersebut terbabas sendiri ke dalam parit, siasatan masih dijalankan,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE