KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) melalui Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti sebanyak 4,619 lokasi ‘panas’ (hot spot) banjir di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tindakan-tindakan awal telah diambil untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi seperti penyelenggaraan sistem perparitan, pembaikan, retrofitting, dan sistem amaran awal.
Beliau berkata, sebanyak 534 siren amaran banjir di sungai-sungai utama dipastikan berfungsi dengan baik.
“Sebagai Persediaan Tindak Balas Bencana banjir pula, Jawatankuasa Pengurusan Bencana setiap Negeri (JPBN) dan Daerah (JPBD) diminta untuk melaksanakan koordinasi persediaan awal melalui mesyuarat, mengadakan simulasi dan latih amal bersepadu, persediaan pusat-pusat pemindahan sementara (PPS), pelaksanaan aktiviti Communication, Education and Public Awareness (CEPA) dan sebagainya.
“Manakala bagi Penyelarasan Pasca Banjir, ia meliputi bantuan awal, pembersihan, dan bantuan-bantuan pasca bencana kepada mangsa termasuk bantuan kewangan dan pembaikan segera kerosakan infrastruktur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan V. Ganabatirau (PH-Klang) yang ingin tahu langkah-langkah yang sedang diambil untuk meningkatkan tahap persediaan dan kecekapan tindak balas negara kita terhadap musibah banjir.
Fadillah berkata, sebagai persediaan menghadapi musim banjir di seluruh negara, Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengatur tiga langkah iaitu Pra Banjir, persediaan Tindak Balas Bencana; dan penyelarasan Pasca Banjir.
“Semasa Pra Banjir, NADMA melaksanakan program simulasi dan sesi libat urus seluruh Negara, Program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM), Kerja-kerja penyelenggaraan sungai, kolam takungan banjir dan infrastruktur.
“Selain itu, turut dilaksanakan pengaktifan Bilik Kawalan Operasi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), penempatan 737 pam bergerak seluruh Negara dan menaik taraf stesen siren amaran banjir dan stesen kamera web,” katanya. – KOSMO! ONLINE