MINAT tanpa usaha sudah pasti menjadikan sesuatu yang dicitakan dalam hidup tidak akan menjadi realiti.
Lahir dalam keluarga yang bergelumang bidang perubatan tidak menjanjikan seorang anak juga mampu menjadi doktor seperti bapanya.
Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Perubatan Management & Science University (MSU), Iylia Maisarah Mohd. Akram, 22, minat dalam bidang perubatan mungkin disebabkan ‘pengaruh genetik’ bapanya, Dr. Mohd.Akram Abu Bakar yang merupakan seorang doktor dan ibunya, Norhafizah Mohd. Noor seorang ‘staf nurse’.
“Mungkin sudah ada DNA ibu bapa yang bekerja merawat pesakit dalam diri menyebabkan minat dalam perubatan semakin mekar. Lagipun ibu dan bapa saudara saya juga ramai bekerja sebagai doktor.
“Pada asalnya di MSU, saya hanya ingin mengambil kursus sains perubatan, tetapi kini membulatkan tekad untuk menjadi doktor seperti bapa saya dengan mengikuti kursus kedoktoran selepas ini,” katanya kepada K2.
Iylia Maisarah yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim (SMKI) Sungai Petani berkata, bidang perubatan memudahkan dirinya mendekati masyarakat di semua peringkat usia dan latar belakang.
“Saya menganggap diri saya seorang yang mudah mesra dengan orang dan bidang sains perubatan memudahkan saya mendekati masyarakat marhaen.
“Baru-baru ini saya dan rakan-rakan di MSU telah turun padang di Narathiwat, Thailand untuk melakukan kerja-kerja kebajikan di sana,” jelasnya.
Iylia Maisarah memberitahu, program amal sememangnya selalu diadakan oleh pihak MSU dan dia bertuah kerana terlibat sebagai antara tulang belakang program murni tersebut.
Jelasnya, hatinya tersentuh ketika menyantuni penduduk setempat yang jauh dari fasiliti perubatan.
“Ada seorang penduduk yang kukunya sudah berkulat dan saya bagi ubat untuk merawat penyakitnya itu.

“Ada juga penduduk kampung yang matanya sudah kuning menandakan wujud penyakit hati atau jaundis. Saya segera memintanya ke hospital terdekat untuk rawatan lanjut,” katanya.
Iylia Maisarah yang menggemari makanan tradisional Melayu berkata, sebagai seorang Muslimah dan mempunyai kelebihan, sewajarnya kita memberikan bantuan seperti makanan dan wang kepada golongan asnaf.
“Mungkin kita mampu melancong ke luar negara dan menunaikan umrah setiap tahun, apa salahnya kita memperuntukkan bajet untuk menyantuni orang susah.
“Dalam keadaan ekonomi yang baru pulih pasca-Covid, sebaiknya program memberi bantuan diperbanyakkan,” ujarnya.
Mengulas mengenai kepentingan bidang pendidikan, dia berkata, generasi muda perlu belajar sebanyak mungkin ilmu untuk memudahkan mereka mencari rezeki di masa depan.
“Mungkin ramai anak muda terpengaruh dengan pempengaruh yang mempunyai jutaan pengikut, namun sebaiknya mereka belajar dahulu agar mampu setanding dengan pempengaruh tersebut.
“Ada juga saya dengar laporan ramai pelajar tidak mahu mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana ingin mencari rezeki sebagai pempengaruh dan terlibat dengan perniagaan dalam talian.
“Sepatutnya usia muda ini digunakan untuk menuntut pelbagai ilmu seperti bidang kecerdasan buatan (AI) dan belajar pelaburan emas yang menjamin masa depan mereka. Belajar bermacam ilmu kewangan dan pelaburan saham juga tidak merugikan,” katanya.
Iylia Maisarah juga menitipkan pesan supaya setiap individu merancang kehidupan mengikut keperluan semasa dan masa depan. Penting bagi seseorang itu menggunakan masa muda untuk membayangkan diri mereka dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Sebagai contoh, apakah pekerjaan yang akan kita jadikan kerjaya dan ilmu yang kita perlu ada? Selepas habis kursus sains perubatan, saya akan melanjut pelajaran lagi lima tahun dalam kursus kedoktoran pada 2026.
“Mungkin jika saya hendak menjadi pakar bius atau pakar sakit puan, saya kena merancang untuk belajar dalam bidang tersebut,” jelasnya.














