KEBANJIRAN pekerja asing dalam sektor perkhidmatan, khususnya sebagai juruwang di pasar raya dan pusat beli-belah, semakin menjadi tumpuan masyarakat.
Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing dan potensi peranan warga tempatan, terutamanya golongan warga emas, dalam mengisi kekosongan tersebut.
Kebergantungan ini berlaku kerana kekurangan minat daripada masyarakat tempatan, terutama golongan muda untuk menceburi pekerjaan sebegini.
Namun, dengan peningkatan bilangan warga emas yang masih cergas dan berminat untuk terus bekerja, mereka mampu menjadi penyelesaian kepada isu yang sudah lama berada di negara ini.
Selain itu, beberapa negara maju seperti Jepun dan Singapura telah berjaya memperkasakan tenaga kerja warga emas dalam pelbagai sektor.
Langkah-langkah seperti menawarkan waktu kerja fleksibel, latihan kemahiran, dan insentif cukai kepada majikan yang menggaji warga emas boleh dicontohi.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, melibatkan warga emas sebagai tenaga kerja bukan sahaja mengisi kekosongan tetapi juga membawa manfaat ekonomi dan sosial.
“Warga emas masih mampu bekerja dan ingin menyumbang, terutama bagi menampung kos hidup. Dengan pengalaman dan etika kerja yang tinggi, mereka mampu memberikan perkhidmatan pelanggan berkualiti.
“Negara seperti Jepun dan Singapura menunjukkan kejayaan melibatkan warga emas melalui skim pekerjaan khas, latihan semula, jadual kerja fleksibel, dan insentif kepada majikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah beliau, persepsi masyarakat terhadap keupayaan warga emas perlu diubah melalui kempen kesedaran.
Walaupun cabaran seperti tanggapan negatif dan kebajikan pekerja wujud, Mohd. Effendy menegaskan kerjasama semua pihak boleh memastikan dasar yang menyokong mereka.
“Warga emas adalah aset berharga yang harus dimanfaatkan untuk kemajuan negara.
“Kemasukan warga emas dalam sektor perkhidmatan juga dapat memberi pelbagai manfaat, termasuk meningkatkan interaksi sosial mereka dan mengurangkan kebergantungan ekonomi kepada ahli keluarga,” katanya.
Penulis berpandangan penglibatan warga emas bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing tetapi juga membantu memperkasakan ekonomi domestik dan menyumbang kepada kesejahteraan sosial.
Dengan polisi dan sokongan yang betul, warga emas mampu menjadi alternatif berkesan dalam menangani lambakan pekerja asing dalam sektor perkhidmatan. – KOSMO! ONLINE















