LONDON – Kapten Chelsea, Reece James sekali lagi berdepan masalah kecederaan hamstring yang akan menyebabkannya terlepas aksi penting menentang Leicester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini.
Pemain berusia 24 tahun itu, sering dihantui masalah kecederaan otot dan baru sahaja kembali beraksi selepas berehat lima bulan.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca mengesahkan kecederaan James dan menyatakan pasukan tidak mahu mengambil risiko yang boleh memburukkan lagi keadaan pemain itu.
“Reece adalah satu-satunya pemain yang tidak tersedia. Dia merasakan sesuatu pada hamstringnya. Kami tidak mahu mengambil risiko, tetapi berharap ini bukan kecederaan serius,” jelas Maresca.
Sejak kembali beraksi, James telah tampil dalam perlawanan penting menentang Liverpool, Newcastle dan Manchester United selain dia juga sempat bermain lapan minit terakhir dalam keputusan seri menentang Arsenal sebelum rehat antarabangsa.
Ketiadaan James menjadi cabaran besar buat Chelsea yang kini berada dalam fasa sukar di bawah Maresca dan dengan jadual padat menjelang hujung tahun, kecederaan itu menambah tekanan kepada pasukan untuk memastikan prestasi konsisten tanpa tonggak utama mereka. – AGENSI