fbpx

Pameran seni universiti Malaysia dan Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para pengunjung memenuhi ruang pameran untuk melihat sendiri karya seni yang dipamerkan.

DALAM usaha menyemarakkan hubungan muhibah antara Malaysia dan Indonesia, bidang seni merupakan medium paling berkesan untuk merapatkan silaturahim kedua-dua negara.

Sehubungan itu, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), bersama rakan kolaborasi utama, Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) dan beberapa institusi lain telah mengadakan pameran lukisan sempena Intercultural Art Education & Innovation Exhibition (iAEIN2024) di Galeri Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM, Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah berkata, iAEIN2024 adalah sebuah pameran seni dan inovasi peringkat antarabangsa yang dilaksanakan sempena penganjuran Simposium Antarabangsa Pendidikan Bahasa & Seni (ISOLA) 2024.

Menurutnya, pameran tersebut diadakan bertujuan meraikan pameran seni dan inovasi dua hala di antara Malaysia dengan Indonesia hasil daripada kesinambungan pameran fasa pertama yang telah berlangsung di UNY, lndonesia pada 18 hingga 24 Ogos lalu.

“Sehubungan itu, pameran balas bagi fasa yang kedua ini dilaksanakan pada 19 sehingga 25 Oktober lalu.

“Pameran ini melibatkan 126 hasil karya daripada beberapa institusi dan universiti dari Malaysia serta Indonesia,” katanya.

Tambahnya, iAEIN2024 merupakan sebuah pameran seni dan inovasi yang mengetengahkan konsep pendidikan bagi meraikan hasil kreativiti dan inovasi para pengkarya di kedua-dua negara.

Katanya lagi, pameran tersebut merupakan wadah terbaik kepada pengkarya mahupun pendidik untuk mengetengahkan hasil pemikiran kreatif yang dizahirkan dalam bentuk visual.

Mengulas lanjut, Jamalunlaili berkata, pameran itu juga meraikan keunikan budaya dan masyarakat setempat sama ada di Malaysia atau Indonesia.

Jamalunlaili (kanan) dan Badrul Kahar (dua dari kanan) bergambar bersama wakil dari UNY selepas Majlis Perasmian iAEIN2024 di Galeri Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

“Pameran ini juga meraikan penglibatan mahasiswa daripada 10 buah institusi termasuk universiti di Malaysia dan Indonesia yang mempamerkan hasil lukisan mereka.

“Ia membuka ruang kepada peserta mengetengahkan hasil karya, berkongsi kemahiran dan pengetahuan seterusnya mendedahkan mereka kepada pengalaman dua hala,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Seni Selangor Galeri Shah Alam, Badrul Kahar Mohd. Yusof berkata, peminat seni visual tempatan hadir menyaksikan pameran tersebut yang diadakan selama tujuh hari.

Katanya lagi, perkembangan seni visual semakin menarik dengan wujudnya teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk merancakkan karya kreatif.

“Kami berharap program sebegini (iAEIN2024) akan diteruskan pada masa akan datang dengan melibatkan kedua-dua negara.

“Sesungguhnya program ini adalah manifestasi kerjasama antara Yayasan Seni Selangor Galeri Shah Alam dan Fakulti Pendidikan UiTM yang diterjemah menerusi program seni, forum pendidikan, bengkel seni dan pelbagai aktiviti lain,” katanya.

Salah seorang pelajar daripada Fakulti Pendidikan, bidang seni lukis dan seni reka UiTM, Sahidah Mariam Aminah Zulkafli, 20, berkata, pameran tersebut bukan sahaja membuka ruang kepada pelukis berpengalaman mempamer karya, malah melibatkan hasil seni pelajar dari pelbagai institusi tempatan.

Jelasnya lagi, selain UiTM, terdapat hasil karya pelajar daripada Institut Perguruan dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dipamerkan pada iAEIN2024.

“Justeru, saya dan rakan-rakan boleh bertukar idea dan pengalaman dengan pelajar lain dalam menghasilkan karya berkualiti. Pameran ini turut mempamerkan hasil seni selain lukisan seperti seni tampak dan industri yang penuh nilai estetika,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI