PETALING JAYA – “Hanya Allah SWT saja yang tahu perasaan kami di sini.”
Itu luahan salah seorang ahli keluarga anggota Malaysian Battalion 850-12 (Malbatt 850-12) sebaik menerima berita insiden letupan berdekatan Stadium Saida, Lebanon, kelmarin lalu.
Malah, kegagalan mereka menghubungi suami mencetuskan rasa panik kerana bimbang dengan keselamatan apabila mengetahu enam anggota Malbatt 850-12 cedera.
Seorang wanita yang juga isteri salah seorang anggota Malbatt 850-12 dikenali Nor, 31, berkata, dia mengetahui mengenai insiden menimpa anggota tentera Malaysia selepas dimaklumkan ahli keluarganya.
Katanya, keluarga mendapat tahu tentang kes itu menerusi media sosial.
“Selepas dapat tahu berita tersebut, saya memang risaukan keadaan suami di sana.
“Sebaik sahaja dapat hubunginya, kami lega apabila dia memaklumkan dirinya selamat. Hanya Allah SWT saja yang tahu perasaan kami di sini (menunggu perkhabarannya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Luahan sama turut dinyatakan seorang lagi ahli keluarga Malbatt 850-12 dikenali Nurul, 25, yang memberitahu, dia juga mengetahui mengenai kejadian itu menerusi media sosial.

berdekatan Stadium Saida, Lebanon kelmarin.
Menurutnya, dia berasa sungguh lega apabila bas yang membawa suaminya tidak terkena serpihan letupan berkenaan.
“Suami berada di dalam bas yang ke-4. Agak membimbangkan bila tahu mengenai perkara itu kerana tidak dapat menghubungi suami ketika
itu.
“Alhamdulillah, tidak lama kemudian saya terima pesanan melalui WhatsApp daripada suami, memaklumkan dia dan pasukan selamat tiba di Kem Marakah,” ujarnya.
Tambah Nurul, dia dimaklumkan mereka (yang cedera) terkena serpihan letupan semasa pasukan melalui kawasan itu dan kejadian berlaku bersebelahan bas yang ke-2.
Sebelum ini, seramai 220 anggota menjadi kumpulan pertama Malbatt 850-12 ke Lebanon yang membawa misi UNIFILL.
Kumpulan itu terdiri daripada 43 pegawai, seorang pegawai awam dan 174 anggota lain-lain pangkat (LLP) serta dua pegawai dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Malbatt 850-12 mempunyai kekuatan seramai 854 anggota terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota LLP termasuk tiga pegawai dan 27 anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan Awam daripada Kementerian Pertahanan.














