fbpx
Gambar hiasan

Suami isteri ‘gila’ media sosial punca cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEBELAKANGAN ini, kes perceraian semakin menjadi-jadi tidak kiralah sama ada dalam kalangan selebriti mahupun orang biasa.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia 2022 menunjukkan kes perceraian di negara ini mencatatkan peningkatan sebanyak 43.1 peratus.

Pelbagai masalah menjadi punca perceraian termasuk curang, pengabaian nafkah, masalah kewangan dan tiada persefahaman, malah ia turut bermula daripada sekecil-kecil hal seperti tidak mengucapkan ucapan ulang tahun kelahiran.

Tanpa disedari, masalah-masalah ini sebahagian besarnya bermula daripada satu punca utama yang sama iaitu penggunaan teknologi secara berlebihan.

Teknologi dalam konteks dimaksudkan adalah telefon bimbit yang kini boleh diibaratkan seperti ‘orang ketiga’ yang tidak disedari dalam sesebuah perkahwinan.

Teknologi membuatkan hubungan suami isteri menjadi renggang apabila masing-masing hanya menghadap telefon bimbit ketika berada di rumah atau sedang makan.

Teknologi juga menyebabkan suami isteri mudah menjalin hubungan dengan sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

Teknologi juga menyebabkan suami isteri mengharapkan pasangan masing-masing menjadi sempurna dan romantis seperti yang dipamerkan oleh individu lain di laman sosial.

Menurut Pakar Kerja Sosial Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad, meskipun teknologi banyak membantu meringankan kerja-kerja manusia, namun jika digunakan secara berlebihan, ia boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga.

Menurutnya, jika pasangan sering leka melayari laman sosial, bermain game online atau berbalas mesej dengan orang lain, ia boleh mengganggu komunikasi antara pasangan.

“Penggunaan telefon bimbit yang tidak terkawal boleh mengundang kecenderungan kepada masalah kecurangan siber dan ini terjadi apabila pasangan berinteraksi dengan orang lain di media sosial secara rawak.

“Kecurangan bermula daripada mesej yang tidak serius sebelum berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar, seterusnya memusnahkan kepercayaan serta kesetiaan dalam perkahwinan,” jelasnya.

Ini diburukkan lagi apabila pasangan terabai disebabkan si suami atau isteri lebih banyak tersenyum di hadapan telefon bimbit berbanding bergurau senda dengan mereka.

Tambahnya, media sosial boleh menyebabkan seseorang membandingkan kehidupannya dengan orang lain termasuk hubungan romantik antara suami dan isteri.

“Ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati atau kecenderungan untuk membuat jangkaan yang tidak realistik terhadap pasangan masing-masing. Sekiranya hal ini tidak dibendung, ia boleh membawa kepada perceraian,” katanya.

Tidak dinafikan bahawa menjaga keharmonian rumah tangga sangat mencabar pada zaman teknologi yang serba canggih ini, terutamanya dengan penggunaan telefon bimbit setiap hari yang tidak boleh dielakkan.

Justeru, bagi mengelak daripada menjadi salah satu penyumbang statistik perceraian, setiap pasangan perlu mengutamakan komunikasi bersemuka dan usah biarkan telefon bimbit ‘merampas’ anda daripada pasangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN