fbpx
KHIDMAT inspeksi rumah semakin mendapat permintaan dalam kalangan pemilik hartanah di negara ini. – Syakir Radin

Khidmat inspeksi rumah kesan kecacatan hartanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IMPIAN seorang pemuda untuk memiliki rumah sendiri tercapai selepas unit rumah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang dibeli pada tahun 2020 lalu siap dibina.

Ketika tiba di kediaman rumah teres setingkat tersebut, secara luaran keadaannya persis seperti miniatur di galeri jualan.

Namun, apabila masuk ke dalam rumah, luluh hati lelaki berusia 33 tahun itu apabila terdapat beberapa kecacatan di dinding dan siling rumah.

Menurut kakitangan kerajaan, Mohd. Akmal Jamil, kecacatan itu membuatkan dia berasa sedih kerana berlaku pada rumah yang baru siap dibina.

“Saya sangat teruja bila rumah sudah siap dibina. Namun apabila pergi melihatnya, keadaan di dalam rumah seperti disiapkan secara tergesa-gesa dengan ada kesan retak pada dinding dan siling berlubang.

“Itu baru kerosakan yang nampak oleh mata, belum lagi yang tersembunyi.

“Saya awalnya tidak tahu apa yang perlu dilakukan sehinggalah seorang rakan mencadangkan saya mengambil khidmat inspeksi rumah,” katanya ketika dihubungi K2! baru-baru ini.

Dia kemudian mengambil khidmat berkenaan dan selepas diperiksa lebih lanjut, ada banyak kerosakan yang terdapat di rumah berkenaan.

Semua laporan kerosakan kemudian difailkan sebelum diserah kepada pemaju untuk tindakan pembaikan memandangkan rumah itu masih mempunyai waranti.

“Selepas laporan diserahkan, saya lega kerana pemaju kemudian mengambil tindakan cepat untuk membaiki semula rumah saya.

“Hal ini merupakan sesuatu yang baru kerana sebelum ini saya tidak tahu terdapat khidmat inspeksi rumah.

“Mereka ini membantu memastikan kediaman berada dalam keadaan terbaik sebelum diserahkan sepenuhnya kepada pemilik,” ujarnya.

Khidmat inspeksi rumah merupakan perkhidmatan membantu pembeli hartanah mengenal pasti dan mendokumentasikan sebarang kecacatan atau isu pembinaan.

Perkhidmatan dilakukan oleh individu yang pakar dalam melakukan pemeriksaan di kediaman, kilang, premis atau bangunan bagi memastikan ia memenuhi piawaian kualiti diharapkan.

Bukan sahaja melibatkan hartanah baharu, khidmat itu juga boleh digunakan untuk memeriksa kecacatan pada bangunan terpakai atau subsale sebelum pembelian dilakukan.

Menurut penyedia khidmat inspeksi rumah dan Pengarah Urusan FZR Synergy Global, Fadly Zain, 38, perkhidmatan seumpama itu telah lama wujud di Malaysia, namun hanya dikenali baru-baru ini selepas tular di media sosial.

“Khidmat inspeksi rumah sudah ada sejak adanya sektor pembangunan dan jual beli hartanah, memandangkan isu kualiti menjadi keutamaan setiap pemilik.

“Sebelum ini, kesedaran tentang perlunya inspeksi rumah dilakukan sepanjang tempoh rumah masih dalam waranti masih kurang dan kebanyakkannya tidak melakukan pemeriksaan kerosakan.

“Ini kerana, ramai tidak tahu adanya khidmat berkenaan,” kongsinya yang mempunyai 18 tahun pengalaman dalam bidang pembinaan.

Hal ini membuatkan ramai berdepan kerugian kerana mereka tidak tahu cara untuk mengenal pasti kerosakan dan menyedarinya selepas tamat waranti.

Malah, ada individu yang membuat pembaikan menggunakan kos sendiri.

Kata Fadly lagi, dalam perkhidmatan inspeksi, semakan kecacatan akan dilakukan secara menyeluruh di setiap bahagian dan sudut dalam rumah termasuk di sekeliling (bagi rumah bertanah).

Pemeriksaan kecacatan melibatkan lima kategori iaitu struktur, seni bina, mekanikal, elektrikal dan paip.

“Pemeriksaan struktur melibatkan kecacatan visual dan tersembunyi seperti keretakan, kepadatan dinding, cat, keadaan pemasangan pintu, tingkap dan sebagainya.

“Manakala bagi sudut seni bina pula, ia membabitkan rekaan rumah sama ada seperti pelan dalam lampiran kontrak atau tidak.

SEMAKAN kecacatan pada rumah atau bangunan akan dilakukan secara menyeluruh oleh inspektor.

“Untuk elektrik, mekanikal dan paip pula, pemeriksaan akan dilakukan secara menyeluruh meliputi kebocoran, pendawaian, pemasangan serta lain-lain,” jelasnya.

Tambah Fadly, setiap rumah terutama bangunan baharu, kecacatan adalah suatu yang lumrah.

Katanya, sebab itu, pemeriksaan perlu dilakukan agar tidak bertambah teruk untuk jangka masa panjang.

Bagi setiap rumah, sekurang-kurangnya akan ada sekitar 40 hingga ratusan kerosakan yang boleh dikenal pasti, bergantung kepada saiz dan jenis rumah.

Pemeriksaan juga akan dilakukan menggunakan alat khas seperti batang besi pengetuk, pengesan visual haba elektronik, pembaris imbang, cermin inspeksi, pemeriksa voltan, penguji soket dan sebagainya.

Setiap penemuan kerosakan akan ditanda pelekat yang ditulis dengan kod-kod khas kecacatan.

Berkongsi tentang kerosakan yang pernah dikenal pasti, Fadly memberitahu, kecacatan bangunan yang biasa ditemui adalah keretakan, dinding atau jubin tidak rata, kebocoran paip dan suis tidak berfungsi.

Namun begitu, terdapat juga kecacatan lain daripada biasa seperti rekaan rumah tidak sama dalam pelan asal.

Misalnya, tingkap tidak ada pada bahagian dinding, pintu di lokasi berbeza dan kawasan tanah tidak selamat untuk ketahanan rumah.

Selepas semua kerosakan dikenal pasti, satu laporan akan difailkan dengan menyenaraikan kecacatan pada bangunan atau kediaman tersebut.

“Laporan ini akan dihantar kepada pemaju untuk tindakan lanjut dan mereka melakukan pembaikan dalam tempoh 60 hari.

“Selepas itu, semakan semula akan dilakukan (perkhidmatan susulan).

“Sekiranya kecacatan tidak dibaiki, fail laporan akan terus dibuka dan pemaju diberi masa tambahan 14 hari untuk tindakan.

“Namun jika pemaju masih gagal, kes akan dibawa ke tribunal pengguna,” katanya.

Kongsinya lagi, dalam usaha mengambil khidmat inspeksi rumah, orang ramai perlu cakna dengan latar belakang penyedia perkhidmatan itu.

Ceritanya, kini muncul segelintir ‘bidang terjun’ berikutan permintaan khidmat tersebut semakin meningkat selepas kerjaya ini dikenali.

Jelasnya, seorang penyedia inspeksi rumah yang bertauliah adalah mereka yang pernah berada dan berpengalaman dalam industri pembinaan.

Ulasnya, golongan itu lebih faham dengan kecacatan rumah dari peringkat awal dibina dan bukan sekadar daripada pemerhatian luar saja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN