fbpx
Berlaku perdebatan mengenai tempoh masa penginapan pelanggan di sesebuah hotel. - Gambar hiasan

Kalau tak boleh 23 jam, 22 jam pun okey

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Isu berhubung tindakan sesetengah hotel yang menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula pukul 4 petang dan keluar pada pukul 11 pagi berbanding tempoh biasa pukul 3 petang hingga 12 tengah hari telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen sebelum ini.

Bagi mereka, ia sangat tidak adil kerana penetapan waktu daftar masuk dan keluar itu menyebabkan tempoh menginap yang agak singkat iaitu hanya 19 jam sedangkan mereka membayar penuh untuk sehari.

Isu tersebut telah menarik perhatian Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang kemudiannya menggesa semua pengusaha hotel melaraskan masa daftar masuk dan keluar bagi membolehkan pelanggan mendapat waktu menginap sekurang-kurangnya 23 jam.

Bagi King Sing, waktu ideal untuk mendaftar masuk ialah pukul 2 petang dan keluar selewat-lewatnya pada pukul 1 tengah hari keesokan harinya. Jujurnya, jika itu dapat dilaksanakan, sudah tentu pelanggan akan mendapat pengalaman penginapan yang lebih baik dan memberi lebih nilai terhadap wang yang mereka bayar.

Namun, Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) pula menyifatkan pelarasan waktu penginapan 23 jam sebagai suatu yang sukar dan tidak masuk akal kerana kekangan keupayaan operasi hotel meliputi tenaga kerja bagi mengemas bilik dan kadar penginapan.

Apa yang diluahkan oleh MAHO ada juga asasnya kerana tempoh sejam untuk mempersiapkan sesebuah bilik mungkin menjadi cabaran lebih-lebih lagi ketika waktu puncak di mana semua bilik habis ditempah.

Belum lagi jika bilik yang ditinggalkan itu dalam keadaan seperti dilanggar garuda.

Sudah pasti jumlah staf pembersihan yang ada di kebanyakan hotel ketika ini adalah berdasarkan kepada praktis daftar masuk pukul 3 petang dan keluar pada pukul 12 tengah hari dengan tempoh senggang 3 jam untuk tujuan pembersihan.

Namun, tugas untuk memastikan bilik dibersihkan dan siap untuk tetamu baru dalam masa yang singkat boleh dilakukan jika pengusaha memiliki jumlah petugas yang mencukupi selain pengurusan jadual kerja staf yang efisien.

Jujurnya, sebagai pelanggan, sudah tentulah kita mahukan perkhidmatan yang terbaik daripada hotel-hotel yang mereka menginap. Mungkin tempoh satu jam itu boleh dianggap sebagai suatu yang sukar ketika bilik hotel habis ditempah, tetapi ia mungkin boleh dipertimbangkan dalam keadaan tetamu yang tidak terlalu ramai tanpa mengenakan sebarang caj tambahan.

Selain itu, adalah lebih elok jika pihak pengusaha hotel dapat berusaha sebaik mungkin memanjangkan tempoh menginap seperti yang disarankan oleh menteri. Jika tidak 23 jam sekali pun, elok juga rasanya kalau dapat mencecah sehingga 22 jam.

Pada masa yang sama, pihak pengusaha hotel masih berupaya untuk memastikan keadaan bilik benar-benar bersih dan bersedia untuk menerima tetamu baru. Keadaan ini sudah tentu boleh menggembirakan hati pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN