fbpx
PERSATUAN serta pengusaha hotel membidas saranan MOTAC supaya melaraskan waktu penginapan pelanggan sekurang-kurangnya 23 jam. – GAMBAR HIASAN

Tak masuk akal duduk hotel 23 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA –  Pengusaha hotel menyifatkan pematuhan terhadap pelarasan waktu penginapan minimum 23 jam adalah sukar serta tidak masuk akal ke­rana dikekang dengan keupayaan operasi hotel termasuk jumlah tenaga kerja bagi mengemas bilik dan kadar penginapan.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M. Saaid berkata, perkara itu agak sukar terutama ketika musim kemuncak apabila semua bilik hotel telah ditempah.

“Kita ingin tahu hotel mana dan di mana dalam dunia ini yang amalkan 23 jam untuk tetamu menginap di bilik. Adakah ia amalan biasa atau kekal atau sebenarnya ‘ad hoc’?

“Hotel di Malaysia ini atas permintaan iaitu jika keadaan membenarkan tetamu mendaftar masuk lebih awal atau daftar keluar lewat dari waktu biasa yang ditetapkan,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Beliau mengulas gesaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) agar semua pengusaha hotel melaraskan masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam.

Jelasnya, selepas pandemik Covid-19, pengurusan hotel perlu melakukan kerja-kerja sanitasi bilik dan ia memakan lebih masa.

“Jika isu tenaga kerja dapat di­selesaikan dan sistem pengemasan bilik lebih efisien, barulah hotel mampu mematuhi saranan MOTAC. Perkara ini senang diperkatakan, tapi realitinya banyak perkara perlu dipertimbangkan,” katanya.

Katanya, pengambilan lebih ramai pekerja bagi tugas mengemas bilik juga akan mengakibatkan kenaikan kos penggajian.

“Tambahan mulai Februari 2025 gaji minimum dinaikkan ke RM1,700. Hotel tiada pilihan terpaksa menaikkan harga bilik bagi tampung kos operasi,” katanya.

Presiden Persatuan Hotel Bajet&Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel pula berkata, hotel berlesen di Malaysia komited kepada standard per­khidmatan tinggi dan memahami kepentingan menjaga kua­liti perkhidmatan pelanggan.

“Sebarang kekura­ngan atau masalah lazimnya timbul dalam kalangan pengusaha tidak berdaftar atau tidak berlesen dengan MOTAC selain tidak menjadi ahli mana-mana persatuan.

“Ketiadaan kawal selia terhadap Penginapan Jangka Masa Pendek (STRA) juga menyebabkan penyedia perkhidmatan ini bebas menjual bilik penginapan tanpa mematuhi standard industri perhotelan. STRA tidak terikat dengan undang-undang dan peraturan ketat seperti hotel berlesen, yang melibatkan aspek keselamatan, kebersihan dan kualiti perkhidmatan. Waktu daftar masuk dan keluar juga tidak mengikut amalan kebiasaan,” katanya.

Di Langkawi, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis, Eugene Dass me­nganggap saranan itu sebagai tidak masuk akal.

“Satu jam adalah tidak mencukupi untuk memastikan kebersihan dan semua kemudahan bilik dalam keadaan sempurna. Masa daftar masuk kebanyakan hotel kini pada pukul 3 petang dan daftar keluar pada pukul 12 tengah hari dengan menjadikan masa menginap kepada 21 jam.

“Kalau dalam sejam, mustahil dapat pastikan kebersihan dan memeriksa pili-pili air, pendingin hawa dan lain-lain kemudahan bilik berfungsi dengan baik. Perkara ini agak sukar untuk dilaksana terutama semasa me­nerima daftar masuk bagi kumpulan besar.

Presiden MAH, Datin Christina Toh menyatakan, saranan itu sebagai mustahil dan mengelirukan kerana selepas pandemik Covid-19, semua orang lebih menekankan kebersihan, jadi pihak hotel perlu memastikan semua bilik dalam keadaan bersih.

Di Melaka, Pengerusi MAH Melaka Chapter, Khairulnizam Kasim berkata, rata-rata pengusaha hotel di negeri ini berdepan dengan kesulitan untuk memenu­hi permintaan itu ekoran situasi semasa industri yang masih dalam fasa pasca Covid-19 dan berdepan pelbagai isu babit tenaga kerja.

“Namun buat masa ini agak sukar untuk kita laksanakan pemintaan kementerian kerana kita tidak dapat menggaji lebih ramai bagi mempercepatkan proses pembersihan bilik,” ujarnya selain menambah terdapat 65 buah pengusaha hotel berdaftar di bawah MAH Melaka Chapter.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN