GUA MUSANG – Penerokaan hutan yang tidak sistematik antara faktor penyebab haiwan liar termasuk harimau keluar dari kawasan habitat asal sehingga mengganggu penempatan manusia bagi mendapatkan makanan.
Daerah Gua Musang dan Jeli yang mempunyai kawasan hutan tebal dikejutkan dengan beberapa insiden haiwan liar seperti harimau, gajah dan beruang yang memasuki kawasan penempatan manusia sehingga menimbulkan konflik haiwan dan manusia sejak tiga tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Apek Asud, 40, berkata, sesetengah haiwan liar memerlukan kawasan luas untuk mencari makanan dan sebagai habitat.
Katanya, penerokaan hutan berskala besar menyebabkan saiz hutan semakin mengecil hingga memberi kesan kepada kawasan rayau haiwan liar yang memasuki kawasan penempatan dan menyerang manusia.
“Kawasan Gua Musang dan Jeli mempunyai bentuk muka bumi berbukit-bukau dan mempunyai kawasan hutan tebal.
“Perubahan ekosistem hutan menyebabkan haiwan liar mengganggu penempatan manusia bagi mendapatkan sumber makanan,” katanya di sini semalam.
Tambahnya, dia menerima rungutan daripada masyarakat Orang Asli harimau berkeliaran dalam kampung dan gajah liar memusnahkan hasil tanaman penduduk hampir setiap bulan.
Ujarnya, masyarakat Orang Asli yakin punca utamanya pembukaan ladang berskala besar.
“Sebelum ini, sukar melihat gajah di depan mata,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, ribuan penduduk dan peniaga di Kampung Lawar, Pergau di Jeli hidup dalam ketakutan meskipun seekor harimau belang yang dipercayai membaham seorang lelaki di daerah ini minggu lalu sudah memasuki perangkap pada Sabtu lalu.














