MUSA memeriksa penghadang angin diperbuat dari pelepah kelapa kering di pekarangan rumahnya di Kampung Jambu Bongkok, Marang baru-baru ini.

Pelepah kelapa perisai angin kencang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARANG – Seorang lelaki warga emas orang kurang upaya (OKU) kategori cacat bisu dan pekak mengambil inisiatif membina penghadang angin daripada pelepah-pelepah kelapa bagi melindungi rumahnya dari ancaman angin kencang Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula akhir bulan ini.

Musa Muda, 55, yang tidak boleh mendengar dan bertutur sejak lahir mengambil masa kira-kira sebulan sejak pertengahan bulan lalu untuk menyusun pelepah-pelepah kelapa tersebut bersendirian.

Anak saudaranya, Amira Nordin, 41, berkata, bapa saudaranya yang bekerja di kebun tembikai menggunakan masa terluang setiap petang bagi menyiapkan penghadang angin tradisional terbabit.

“Membina penghadang angin daripada pelepah kelapa merupakan tradisi penduduk Jambu Bongkok sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh saban tahun.

“Ia bertujuan untuk mengurang risiko kerosakan pada rumah kami daripada angin kencang yang sering melanda sepanjang MTL,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Jambu Bongkok di sini baru-baru ini.

Amira berkata, pelepah-pelepah kelapa kering terbabit dikutip bapa saudaranya di kawasan pantai berhampiran.

Dia berkata, pelepah-pelepah kelapa itu kemudiannya disusun secara menegak mengelilingi kawasan rumah untuk berfungsi sebagai penghadang
angin.

“Penghadang angin diperbuat daripada pelepah kelapa kering itu akan dipasang sepanjang tempoh MTL selama kira-kira lima bulan.

“Ia hanya akan dileraikan selepas berakhirnya musim tengkujuh pada hujung bulan Mac setiap tahun,” katanya.

Amira berkata, susunan pelepah-pelepah kelapa sebagai penghadang angin itu kelihatan cantik dan unik sehingga menarik perhatian ramai khususnya pelancong.

Katanya, kebanyakan pelancong itu meminta izin untuk mengabadikan gambar bersama penghadang angin tersebut sebagai kenang-kenangan.

“Ia menyebabkan penghadang angin pelepah kelapa kering tersebut menjadi salah satu tarikan pelancongan di Jambu Bongkok ini pula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN