TEMERLOH – Selepas lima hari berkampung di pusat pemindahan sementara (PPS), penduduk Kampung Batu Kapor dan Kampung Gajah Mati di sini sudah mula kembali ke rumah masing-masing dan membersihkan kediaman mereka semalam.
Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata mereka bergotong-royong dan membuang peralatan yang telah rosak selepas bah surut dengan hanya halaman rumah digenangi air paras buku lali.
Bagaimanapun di sebalik kelegaan itu, timbul kebimbangan dalam kalangan mereka sekiranya berlakunya gelombang kedua banjir susulan cuaca tidak menentu selain hujan di beberapa
tempat.
Seorang penduduk Kampung Gajah Mati, Norashikin Sulaiman, 48, berkata, dia bersama keluarganya pulang ke rumah kira-kira pukul 9 pagi semalam untuk mencuci rumah dan mengemas barangan ditenggelami air.
Menurutnya, hanya barangan elektrik yang sempat diselamatkan ke ruangan atas kediaman sementara perabot termasuk almari, kerusi dan pinggan mangkuk ditenggelami air.
“Barangan antaranya perabot dan tilam serta pinggan mangkuk terpaksa dibuang kerana rosak selepas lima hari ditenggelami bah.
“Meskipun hari ini (semalam) air telah surut, kami masih bimbang berlakunya gelombang kedua banjir kerana cuaca sekarang masih tidak menentu,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Batu Kapor, Susila Erni Suliman, 28, berkata, dia yang pulang mencuci rumah semalam bersyukur kerana barangan yang diletakkan di tempat
lebih tinggi tidak terjejas.
Katanya, dia hanya pulang mencuci rumah dan kekal tinggal di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semantan di sini bimbang kejadian banjir berulang ekoran masih hujan.
Berbeza dengan Tarmizi Othman, 66, dia dan keluarga mengambil keputusan untuk pulang ke rumah kerana telah terlalu lama tinggal di PPS.
“Jika berlaku gelombang kedua, kami sentiasa bersedia untuk berpindah,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri dalam peringkat kajian untuk memindahkan beberapa buah kampung yang sering di landa banjir ke kawasan tinggi sebagai penempatan baharu.
Menurutnya, kajian mendalam perlu dilakukan bagi mencari tempat sesuai selain melibatkan pelbagai keperluan kos, masa dan keperluan asas.
Beliau mengakui terdapat beberapa kampung seperti Kampung Batu Kapor, Kampung Sungai Buloh dan Kampung Gajah Mati antara lokasi ‘ wajib’ banjir setiap kali musim
tengkujuh.














