KLANG – Pelaksanaan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan ‘Environmental, Social and Governance’ (ESG) perlu dilihat sebagai sebahagian untuk menarik pelaburan ke negara ini.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kedua konsep tersebut bukan sekadar tarikan semata-mata, tetapi ia adalah syarat-syarat nyata untuk pelabur membuat pelaburan di negara ini.
“Maka sebab itu kalau kita lihat, kalau kita hendak bersaing di persada antarabangsa komitmen ESG ini sangat penting. Perkara kedua, dari segi ESG itu sendiri akan memberi pulangan atau impak positif kepada kita.
“Contohnya dari segi penggunaan tenaga, bila kita menggunakan tenaga dengan lebih cekap bermaksud kita melakukan penjimatan yang boleh memanjangkan hayat mesin-mesin atau pun infrastruktur kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen kemampanan Klang 2024 ESG For SDG,di sini, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, dalam konteks sosial pula, jika majikan menjaga hubungan yang baik dengan pekerja ia mampu meningkatkan produktiviti.
“Akhir sekali sebenarnya ikhtiar ke arah ESG mendapat sokongan daripada kerajaan. Jadi dari sudut peralihan tenaga memang kita sudah merencanakan National Energy Transition Road Map yang diluncurkan Perdana Menteri tahun lepas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE