fbpx

Arwah Khairil Anwar ajak ibu bapa bergambar sebelum nahas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamaludin menunjukkan gambar terakhir yang dirakam bersama Khairil Anwar Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Bapa Khairil Anwar Jamaludin, 20, yang maut dalam nahas kelmarin tidak menyangka permintaan anaknya untuk bergambar sewaktu dihantar pulang ke kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Sabtu lalu merupakan gambar terakhir mereka.

Jamaludin Hussin, 53, berkata, ketika itu, dia dan isterinya, Norma Mohammed Nor, 52, pergi ke Dungun untuk menghantar anak bongsu daripada lima beradik itu ke kampus bagi memulakan semester ketiga pengajian.

“Semasa hantar dia (arwah) tidak menunjukkan apa-apa perubahan, tetapi dia ada ajak bergambar bersama. Sebelum ini, dia jarang ajak bergambar.

“Kebetulan hanya kami berdua yang hantar dia pulang ke kampus disebabkan kakak-kakaknya bekerja,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian arwah Khairil Anwar di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini hari ini.

Selain itu, Jamaludin memberitahu, arwah anaknya yang mesra dipanggil ‘Adik’ merupakan seorang yang manja dan rapat dengan ibunya.

“Arwah seorang anak yang bagus, dia tidak pernah bangkang kata-kata ibu bapa. Kalau kita tegur dia kata ‘ya’ sahaja. Dia memang anak yang baik dan lemah lembut,” katanya.

Jamaludin bagaimanapun bersyukur kerana banyak pihak tampil membantu mempermudahkan proses pengebumian anaknya.

Terdahulu, jenazah Ijazah Sarjana Muda Perakaunan tiba di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada pukul 4.25 petang selepas disolatkan kali kedua di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan, Ampang.

Jenazah selesai dikebumikan kira-kira pukul 4.45 petang.

Arwah Khairil Anwar merupakan salah seorang penuntut UiTM Dungun yang terkorban dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan malam tadi.

Dua lagi mangsa yang meninggal dunia ialah Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25. Rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, cedera parah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI