ELEGAN dan mewah menterjemahkan penampilan model E-Class serba baharu (W214) yang dilancarkan oleh Mercedes-Benz Malaysia Malaysia untuk pasaran tempatan baru-baru ini.
Sedan mewah generasi keenam itu ditawarkan dalam dua varian iaitu E350e AMG Line dan E200 Avantgarde.
E350e AMG Line merupakan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV), manakala E200 Avantgarde dipasang dengan sistem ‘mild hybrid’.
Direka untuk pemanduan canggih, kedua-dua jentera itu dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadikan setiap interaksinya intuitif dan lancar serta berkebolehan membuat ketersambungan 5G serta perstriman video.
Golongan profesional boleh berhubung dengan sesiapa sahaja secara mobile menerusi kamera penstriman yang disediakan dalam kenderaan ini.
Ia sekali gus meletakkan standard baharu bagi sebuah sedan eksekutif mewah.
Bersesuaian dengan harganya yang lebih tinggi, varian E350e dilihat lebih canggih berbanding varian E200.
Sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dalam E350e boleh mengubah papan pemuka menjadi hab digital dengan menawarkan pengalaman dalam kabin yang menarik dan futuristik.
Dari segi rekaan, sekali imbas kedua-dua varian E-Class kelihatan agak sama dengan bahagian hadapan gril bercorak heksagon.
Lebih menarik, corak bintang tiga yang mengambil ilham daripada logo Mercedes-Benz itu sendiri jika diamati diterapkan pada bahagian dalam gril model terbaharu ini.
Kombinasi lampu belakang turut menggunakan logo Mercedes-Benz tiga dimensi (3D) yang menunjukkan ciri keunikan.

Bahagian luaran Mercedes-Benz E-Class baharu ini turut menampilkan rekaan eksekutif mewah yang mengambil elemen dari model S-Class dengan pintunya terbenam.
Kedua-dua varian mengekalkan reka bentuk lampu nyalaan siang tersendiri dengan lampunya berbentuk seperti ‘kening’ bagi menampakkan elemen sporty.
Di bahagian sisi, ia diperkemas lagi dengan pemasangan rim aloi berbilang jejari bersaiz 20 inci pada E350e, manakala saiz 19 inci untuk E200.
Dari segi dimensi, model tersebut berukuran 4,950 milimeter (mm) panjang, 1,880mm lebar dan 1,468mm tinggi iaitu lebih besar daripada generasi sebelum ini.
Beralih kepada janaan kuasa, kedua-dua varian menggunakan enjin 2.0 liter petrol empat silinder yang mampu menjana kuasa maksimum 204hp dan tork 320Nm.
Untuk varian E350e, PHEV ini didatangkan dengan bateri lithium-ion berkapasiti 25.4kWh yang mempunyai julat pemanduan elektrik sehingga 118 kilometer (km) dan kelajuan maksimum 236 kilometer sejam (km/j).
Mengenai kereta PHEV, ia sama seperti kenderaan hibrid (HEV) yang masih memerlukan bahan api petrol atau diesel tetapi mempunyai kebolehan untuk pengecasan semula bateri dengan cara plug-in.
Dalam erti kata lain, kereta PHEV boleh menggunakan lebih banyak kuasa motor elektrik berbanding kereta HEV sekali gus anda mampu merasai lebih penjimatan petrol.
E350e juga menyokong pengecasan terus (DC) sehingga 55kW yang mampu mengecas 10 hingga 80 peratus kurang 20 minit.

terbaharu ini mempunyai panjang 4,950mm.
Gandingan dua nadi kuasa petrol dan elektrik pada E350e, menghasilkan 204hp dan menjadikan tork maksimum 550Nm, jentera ini boleh memecut dari pegun ke 100 km/j hanya dalam masa 6.4 saat.
Sementara itu, E200 dipasang dengan sistem ‘mild hybrid’ yang memberi tambahan kuasa pecutan permulaan 17 kilowatt (kW) dengan kuasa maksimum 205Nm yang dipadankan transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic.
Meninjau ke ruangan kabin, kedua-dua varian menampilkan pencahayaan ambien membaluti bahagian hadapan panel instrumen yang mengalir lancar ke dalam pintu untuk mencipta suasana yang luas dan menarik.
E350e mempunyai sistem multimedia MBUX Premium Plus termasuk paparan penumpang, manakala E200 dilengkapi sistem multimedia MBUX Premium dengan paparan instrumen meter 12.3 inci dan sistem infotainmen 14.4 inci.
Untuk keselesaan pemanduan, tempat duduk E350e menggunakan kulit upholsteri, manakala E200 menampilkan kulit buatan manusia Artico.
Antara ciri menarik, E-Class baharu ini didatangkan dengan kunci kenderaan digital untuk iPhone atau Apple Watch sebagai sebahagian Pakej Kemudahan Keyless Go dan Hands Free Access.
Dalam dunia tanpa sempadan, gamers juga boleh bermain permainan interaktif seperti ‘Angry Birds’ dan melayari media sosial Tik Tok dalam sedan mewah ini.
Dari segi keselamatan, model E-Class baharu ini dilengkapi sistem pemanduan autonomi tahap 2, brek kecemasan, kawalan pelayaran adaptif distronic dan fungsi henti dan gerak, bantuan kekal laluan, bantuan stereng untuk mengelak, bantuan pemantauan titik buta dan sembilan beg keselamatan.
Untuk pasaran Malaysia model E350e AMG Line PHEV dijual pada harga RM418,888 dan E200 Avantgarde pada harga RM355,888.
Kesimpulannya, evolusi teknologi yang diterapkan pada model baharu E-Class ini menjadikan sedan eksklusif ini bukan sekadar sebuah kereta tetapi simbol status dan kecanggihan.
Ia direka untuk gaya hidup yang menawarkan pemanduan mewah dan berinovasi.














