fbpx
SITI MUNIRAH berubah daripada seorang yang pendiam kepada ekstrovert selepas menyertai syarikat pengiklanan, NewsFeedMedia.

Siti Munirah jadi lebih berani lepas tukar kerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“JIKA diimbas semula, sampai saat ini saya memang tidak percaya mampu berada di tahap ini.

“Bayangkan, daripada bekerja di firma audit sebagai akauntan, tiba-tiba ‘terjun’ dalam bidang pemasaran dan jualan selepas dibuang kerja ketika negara dilanda pandemik Covid-19”.

Itu antara momen paling tidak boleh dilupakan oleh wanita kelahiran Kelantan ini tatkala menyorot kembali perjalanan kariernya.

Bagi Siti Munirah Mohammed Pauzi, takdirnya begitu ‘cantik’ disusun oleh Yang Maha Esa, meskipun dia tidak pernah terfikir mampu meredah semua cabaran dihadapi.

Memulakan bicara, wanita berusia 33 tahun itu pernah memiliki kerjaya hebat sebagai akauntan di sebuah syarikat firma audit berpengaruh.

“Selepas tamat belajar dan menggenggam ijazah dalam jurusan perakaunan, rezeki berpihak kepada saya kerana dapat bekerja sebagai akauntan.

“Cumanya, kerja sebagai akauntan di bahagian audit dan percukaian itu tidak bertahan lama kerana wabak maut tidak diundang, Covid-19,” katanya membuka bicara bersama Aura.

Menurutnya, memandangkan dia antara staf paling muda, maka namanya ‘terpilih’ untuk dikeluarkan daripada syarikat dalam usaha menjimatkan kos operasi.

Disebabkan itu, dia bukan sekadar hilang punca pendapatan, malah karier sebagai akauntan yang diimpikan sejak kecil berakhir.

“Beberapa bulan juga saya duduk di rumah flat bersama suami.

“Alhamdulillah, ketika itu, rezeki suami untuk bekerja menyara kami sekeluarga masih dipanjangkan,” tuturnya.

Sejak peristiwa pahit itu, dia tidak pernah berhenti berusaha mencari pekerjaan dan peluang baharu.

SITI MUNIRAH bersama suami dan anak-anaknya.

Pun begitu katanya, nasib tidak menyebelahinya kerana ketika pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kebanyakan syarikat membuang pekerja.

Ujar Siti Munirah, sampailah satu tahap, kakaknya menawarkan peluang kerja kepadanya.

Ketika itu, dia merasakan kehidupannya seakan-akan kembali bersinar dan ada peluang baharu menanti dirinya.

“Ketika itu, kakak dan suaminya baharu sahaja buka sebuah agensi pengiklanan sendiri yang dikenali sebagai NewsfeedMedia.

“Saya beritahu kakak, saya tidak pandai buat kerja-kerja pemasaran dan jualan.

“Ini kerana, saya memang tidak pernah melakukannya selain malu berdepan dengan orang.

“Jadi, awal-awal lagi saya sudah minta kerja-kerja berkaitan perakaunan, waima dibayar RM1,000 sebulan,” katanya.

Sejak tahun 2020, pelawaan dan tawaran diberikan oleh kakaknya disahut tanpa memikirkan banyak hal.

Jelas Siti Munirah, selepas lima tahun berkhidmat sebagai pegawai pemasaran dan bukannya jawatan ‘diminta’ pada peringkat awal, banyak perubahan berlaku dalam hidupnya.

Paling dirasai, daripada seorang yang introvert (pendiam) dan malu, dia berubah dan semakin suka berdepan dengan ramai orang (ekstrovert).

“Itu antara pencapaian paling membanggakan bagi diri saya. Ini kerana, dulu saya memang malu dan tak pandai hendak bergaul dengan orang ramai.

“Namun, selepas sertai NewsfeedMedia, saya jadi berani dan lebih yakin ke hadapan.

“Saban hari, saya dan pasukan akan keluar jumpa pelanggan yang memerlukan perkhidmatan pengiklanan kami.

“Dari situ, saya mula nampak bakat komunikasi yang ada, selain mampu meyakinkan para pelanggan,” katanya.

Satu lagi pencapaian paling besar buat dirinya adalah apabila dia berjaya menjual iklan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM2 juta.

Ujarnya, ia satu pencapaian cukup tinggi bagi seorang yang langsung tiada pengalaman dalam bidang pemasaran dan jualan.

Katanya, kunci bagi segala kejayaan adalah melakukan yang terbaik dan jangan terlalu banyak berfikir atau takut untuk melakukan sesuatu.

Akuinya, itulah yang diterapkan dirinya, lebih-lebih lagi apabila diberi tanggungjawab sebagai Pengurus Pemasaran NewsfeedMedia sejak beberapa tahun lalu.

Berkongsi mengenai cabaran yang pernah dilalui sejak bekerja dalam bidang jualan, Siti Munirah memberitahu, dia pernah mendapat surat saman daripada sebuah syarikat yang menggunakan perkhidmatannya.

Katanya, perkara itu berlaku kerana masalah komunikasi dengan stesen televisyen yang menukar slot iklan syarikat tersebut pada saat akhir.

“Sepatutnya, syarikat tersebut dapat slot pada sekian hari seperti yang sudah dipersetujui. Namun entah bagaimana, saat akhir ditukar.

“Jadi, macam-macam persiapan sudah dilakukan dan ia memerlukan pelbagai kos lain.

“Disebabkan itu, syarikat berkenaan tidak puas hati dan menghantar surat saman kepada saya.

“Akhirnya, kes tersebut dapat diselesaikan kerana masalah itu bukan datang daripada agensi kami. Seperkara lagi, syarikat juga pernah menanggung kerugian hampir setengah juta.

“Ini kerana, kami terpaksa membayar wang deposit kepada sebuah syarikat yang memerlukan perkhidmatan kami.

“Selepas iklan keluar, syarikat tersebut senyap dan melarikan diri. Mereka tidak mengaku melakukannya, meskipun perjanjian hitam dan putih sudah ada,” katanya.

Bagi Siti Munirah, dia bersama pasukannya tetap melakukan yang terbaik dan bersemangat membantu memudahkan urusan pihak yang memerlukan khidmat mereka.

Bagi perancangan tahun ini, unitnya optimis menyasarkan untuk mencapai jualan lebih daripada RM5 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN