SEMUA pihak perlu muhasabah diri masing-masing selepas kegagalan kontinjen negara untuk mencapai sasaran empat pingat emas pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang melabuhkan tirainya 9 September lalu.
Pada temasya sukan terbesar dunia yang memasuki edisi ke-17 itu, Malaysia sekadar membawa pulang dua pingat emas dan dua perak, sekali gus tidak dapat menyaingi pencapaian di Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Sekurang-kurangnya ia dapat menebus kekecewaan seluruh rakyat Malaysia ketika kontinjen negara kempunan membawa pulang pingat emas pertama pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Justeru, tidak manis sekiranya aksi tuding-menuding berlaku sebaik sahaja Paralimpik berakhir kerana ia mencemarkan nama pihak-pihak yang terlibat.
Penulis menganggap sebarang pencapaian atau keputusan perlu diraikan secara bersama kerana setiap badan sukan ataupun persatuan boleh dianggap mewakili rakyat Malaysia.
Selain itu, sekiranya ada pertikaian dan perselisihan faham, ia mungkin hanya mengeruhkan keadaan semasa selain memberi kesan negatif kepada barisan atlet.
Adalah lebih elok sekiranya badan-badan induk sukan negara seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berganding bahu bagi menambah baik program latihan seperti disuarakan jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou.
“Untuk saya, kami tidak mahulah timbul sebarang isu kerana kami hanya mahu fokus terhadap pencapaian serta sasaran yang diletakkan.
“Sekiranya kita dapat menghasilkan keputusan positif, kenapa kita tidak (ambil langkah) mengekalkan program sedia ada atau duduk semeja berbincang,” katanya.
Jika diimbas semula, pencapaian dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa bukanlah keputusan yang hambar, namun ketua kontinjen ke Paralimpik Paris, Datuk R. Subramaniam menganggap ia sebagai kegagalan dan sedia bertanggungjawab.
Biarpun dua atlet sandaran negara, Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh) dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) sekadar membawa pulang pingat perak, namun mereka sekurang-kurangnya sudah melakukan yang terbaik.
Latif melakukan lompatan dengan jarak 7.45 meter (m) dan hanya selangkah untuk menggapai emas, namun harapan itu musnah apabila dipintas atlet Russia, Matvei Iakushev yang mencatat 7.51m pada percubaan terakhir.
Sementara itu, Ziyad pula merangkul pingat perak pertamanya di Paralimpik selepas mencatat lontaran sejauh 17.18m dan terpaksa bersaing dengan atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi yang memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali menerusi catatan 17.61m.
Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub menganggap pencapaian pada Paralimpik Paris bukanlah satu kegagalan kerana ia tidak jauh tersasar daripada sasaran awal empat pingat emas selain membawa pulang lima pingat keseluruhan, sama seperti edisi di Tokyo.
“Pertama sekali saya nak nyatakan bahawa sasaran tidak jauh tersasar. Kalau dilihat pada Sukan Paralimpik Tokyo (2020), jumlah pingat yang dimenangi masih sama (lima pingat keseluruhan).
“Sasaran di peringkat awal dibuat MPM, kita sambut baik dan MSN menyokong sasaran tersebut tetapi ia tidak dapat dicapai. Kita akui tidak berjaya tetapi atlet sudah cuba,” ujarnya.
Kesimpulannya, keputusan yang dicatat di Paralimpik Paris mungkin menjadi isyarat bahawa sudah tiba masanya semua pihak melakukan ‘kerja rumah’ menjelang temasya-temasya utama yang lain kelak.















