KELAHIRAN Rosni Malaysia Buyong, bukan hanya dinantikan oleh keluarganya.
Malah, pihak hospital tentera di Padang Tembak, Kuala Lumpur turut tertunggu-tunggu kelahirannya.
Ini kerana, dia bakal dilahirkan pada tanggal 16 September 1963 bersamaan dengan tarikh pembentukan negara Malaysia.
“Saya bukan hanya dilahirkan pada hari pembentukan Malaysia, malah saya diberi nama Malaysia. Saya berbangga diberikan nama Malaysia.
“Ia sesuatu yang unik kerana saya membawa nama sebuah negara,” katanya kepada K2 ketika ditemui di rumahnya di Sungkai, Perak.
Disebabkan keunikan nama tersebut, wanita berusia 61 tahun itu sering menjadi sebutan dan perhatian ramai.
Sebelum kelahiran Rosni Malaysia, bapanya iaitu Buyong Ali merupakan seorang pegawai tentera yang bertugas sebagai pengiring Perdana Menteri pertama iaitu Tunku Abdul Rahman.
Ketika kelahirannya, Tunku Abdul Rahman membuat perisytiharan hari penubuhan Malaysia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Rosni Malaysia menjelaskan, sebelum itu, bapanya memilih untuk meletakkan nama Rosni sahaja kepadanya.
“Nama Malaysia ini diberikan oleh Tunku (Abdul Rahman) ketika bapa membawa saya pergi ke rumah Tunku.
“Akhirnya, saya dinamakan sebagai Rosni Malaysia. Ketika berumur satu tahun, saya juga dibawa berjumpa dengan Tunku, sebelum beliau mengambil kain kuning untuk diikat pada tangan saya,” terangnya.
Tambahnya, kain kuning yang diikat di tangga itu sebagai tanda Tunku mengambilnya sebagai anak angkat.
Bukan itu sahaja, Tunku juga memberikan kalung emas, seutas rantai dan loket berbentuk hati kepadanya.

Sewaktu Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri, Rosni Malaysia juga telah dijadikan anak angkatnya.
Malah, dia telah dibawa oleh bapanya untuk berjumpa dengan Tun Abdul Razak.
Sementara itu, mengulas tentang pengalamannya membesar dengan nama Malaysia, dia yang juga merupakan pesara guru mengakui, namanya sering menjadi perhatian orang di sekeliling.
Ujarnya, ketika memasuki alam persekolahan, baru dia faham bahawa Malaysia merupakan nama negara ini.
“Malah, guru di sekolah pada ketika itu sering tanya kepada saya mengenai nama Malaysia. Mereka tanya, kenapa saya diberi nama itu?
“Lama-kelamaan mereka mengetahui bahawa saya dilahirkan pada Hari Malaysia.
“Kawan-kawan sekolah juga bertanyakan soalan yang sama. Mereka sering memanggil saya dengan nama itu untuk mengusik.
“Sewaktu menyambung pengajian, saya juga sering mendapat perhatian daripada pensyarah kerana keunikan nama saya,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, apabila Rosni Malaysia bergelar guru, para pelajarnya juga sering mengusiknya dengan memanggilnya dengan panggilan cikgu RM iaitu singkatan kepada Rosni Malaysia.
Menariknya, ketika menjadi guru di sekolah, dia sering diraikan apabila tibanya Hari Malaysia.
Rosni Malaysia memaklumkan, dia pernah bertanya kepada bapanya mengenai simbolik namanya.
“Bapa hanya memberitahu, nama Malaysia bukan diberi olehnya, sebaliknya ia diberikan oleh Bapa Kemerdekaan iaitu Tunku Abdul Rahman.
“Sebagai seorang yang berjiwa patriotik, ramai yang menyokong untuk meletakkan Malaysia pada nama saya.
“Sebab itu, bapa saya bersetuju untuk meletakkan nama Rosni Malaysia pada waktu itu,” terangnya.
Dalam pada itu, suami kepada Rosni Malaysia iaitu Ahmad Nazri Abdul Karim, 65, berkata, nama isterinya itu sering menjadi pertanyaan orang.
“Apabila kita berurusan dengan pejabat kerajaan atau pihak bank, mereka akan mempertikaikan nama tersebut.
“Mereka sering bertanya, adakah nama isteri saya itu betul? Ini kerana ada perkataan Malaysia.
“Jadi, saya hanya beritahu kepada mereka bahawa isteri dilahirkan pada Hari Malaysia. Biasanya, mereka akan faham,” jelasnya.
Selain Rosni Malaysia, terdapat individu lain yang turut dinamakan sebagai Malaysia.
Salah seorangnya ialah Mohd. Malaysia Ismail.
Lelaki berusia 60 tahun itu juga berbangga dinamakan sebagai Malaysia.
Ketika ditanya tentang kisah namanya itu, Mohd. Malaysia berkata, semuanya berlaku kerana kesilapan ketika pendaftaran sijil kelahirannya.
“Saya bukan dilahirkan pada Hari Malaysia iaitu 16 September 1963, sebaliknya saya dilahirkan lapan bulan selepas pembentukan Malaysia.
“Bapa saya mahu mendaftar nama saya sebagai Mohd. Isa pada asalnya, tetapi individu yang mendaftar kelahiran saya itu tulis nama saya sebagai Mohd. Malaysia.
“Bapa saya buta huruf dan dia tidak tahu nama saya didaftarkan sebagai Mohd. Malaysia,” katanya.
Selepas mencapai usia 18 tahun, Mohd. Malaysia pernah cuba menukar namanya. Namun, disebabkan proses untuk menukar nama itu agak rumit, dia tidak jadi berbuat demikian dan mengekalkan nama Mohd. Malaysia.
Dia mengakui membesar dengan nama Mohd. Malaysia membuatnya sering menjadi perhatian masyarakat.
Malah, banyak kejadian mencuit hati dilaluinya apabila menggunakan nama tersebut.
“Dahulu, ketika menghadiri temuduga, soalan yang sering ditanya adalah tentang asal usul nama saya.
“Begitu juga ketika berurusan di kaunter. Apabila penjaga kaunter memanggil nama saya, orang di sekeliling akan mencari individu bernama Mohd. Malaysia kerana ia sangat unik.
“Malah saya masih ingat, ketika menghadiri konvokesyen di Universiti Sains Malaysia, apabila nama saya diumumkan untuk naik ke pentas, ramai yang memberi perhatian,” terangnya.
Biarpun dia mempunyai banyak pengalaman menarik dengan namanya itu, namun dia amat berbangga kerana menggunakan nama Malaysia.
















