fbpx

Himpunan RXZ 6.0: Ikut peraturan kalau tidak mahu kena ‘pukat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara motosikal peserta Himpunan RXZ Members yang disita JPJ atas pelbagai kesalahan pada tahun lalu.

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu mengingatkan 80,000 peminat motosikal Yahama RXZ yang akan membanjiri Himpunan RXZ Members 6.0 di negeri ini pada hujung minggu ini agar mematuhi peraturan lalu lintas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, kehadiran mereka amat dialu-alukan tetapi pematuhan undang-undang trafik perlu diberi keutamaan.

Beliau berkata, penganjur Himpunan RXZ Members 6.0 telah diingatkan agar memastikan semua peserta memiliki lesen memandu, cukai jalan dan insurans yang sah.

“Saya tidak mahu guna istilah ‘pukat’ tetapi kita akan tetap adakan sekatan jalan raya (SJR) yang memberi tumpuan kepada kawasan sekitar bandar raya ini.

“Ia selaras Op Khas Motosikal yang telah diarahkan Bukit Aman bermula 12 September ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Himpunan RXZ 6.0 yang mengumpulkan peminat motosikal Yamaha RXZ seluruh negara berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus pada Jumaat dan Sabtu ini.

Penganjuran pada tahun lalu menimbulkan kontroversi apabila banyak motosikal peserta disita akibat ‘dipukat’ dalam SJR dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan.

Mohd. Khairi berkata, Op Khas Motosikal tersebut bukan menumpukan terhadap peserta Himpunan RXZ Members semata-mata malah semua penunggang motosikal.

Jelas beliau, selain lesen, cukai jalan dan insurans, tumpuan juga akan diberikan terhadap pematuhan cermin sisi, ekzos dan tayar motosikal yang mengikut peraturan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI