AMPANG – Dua wanita antara empat ditahan berkait kes melarikan diri daripada pemeriksaan polis ketika disyaki melakukan aktiviti menarik kabel di Taman Bukit Teratai, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, maklumat awal diterima sekitar pukul 2.30 pagi.
Katanya, semasa anggota polis membuat rondaan, dimaklumkan terdapat beberapa orang lelaki dalam keadaan mencurigakan menarik kabel disyaki untuk dicuri.
“Apabila pengadu sampai di tempat kejadian, terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai dinaiki oleh kesemua saspek bertindak melarikan diri.
“Kenderaan suspek tersebut bertindak mengundurkan kenderaan melanggar bahagian hadapan bampar kenderaan polis sebelum terus melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Azam, berlaku adegan kejar mengejar lebih kurang 200 meter sebelum kenderaan suspek melanggar pembahagi jalan di persimpangan masuk dan hilang jejak.
Bertindak hasil maklumat, Mohd. Azam berkata, pihaknya menangkap dua lelaki dan dua wanita tempatan di Kajang, Selangor, Rabu lalu.
“Kesemua tangkapan berusia 21 hingga 32 tahun ditahan bersama beberapan barang rampasan antaranya sebuah kenderaan pacuan empat roda dan beberapa alatan memotong kabel.
“Pemeriksaan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkait dadah dan samun manakala baki dua lagi tiada rekod lampau,” ujarnya.
Katanya, dua suspek masih ditahan berkait kes kecurian kabel manakala dua lagi dibenarkan jaminan polis, Sabtu lalu.
Jelas beliau, kes disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan merujuk kepada menghalang penjawat awam.-KOSMO! ONLINE.