SABTU lalu, negara menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan yang ke-67. Ini selepas negara berjaya meraih kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957.
Sambutan Hari Kemerdekaan diadakan di semua negeri, manakala keraian di peringkat kebangsaan berlangsung di Dataran Putrajaya.
Penulis cukup kagum dengan semangat patriotik yang ditunjukkan oleh sebahagian masyarakat yang sanggup bermalam di Dataran Putrajaya semata-mata untuk menyaksikan perbarisan Hari Kebangsaan.
Malah penulis difahamkan, orang ramai berpusu-pusu ke Putrajaya seawal pukul 3 pagi untuk mengambil tempat terbaik menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan yang bermula sekitar pukul 7.30 pagi.
Ada antara pengunjung sanggup membawa anak kecil bersama lautan manusia.
Bahkan, ada ibu bapa yang memilih mengenakan pakaian tema merdeka pada anak-anak mereka bagi menunjukkan rasa cinta pada negara seperti uniform askar dan busana warna Jalur Gemilang.
Pada pandangan penulis, ia satu fenomena yang bagus kerana rasa cinta kepada negara perlu dipupuk sejak kecil.
Melalui semangat nasionalisme ini, kanak-kanak menjadi lebih bersemangat untuk mengetahui sejarah negara serta proses mencapai kemerdekaan.
Ini kerana, penulis difahamkan rata-rata pelajar di Malaysia kurang meminati subjek Sejarah. Sejak zaman penulis belajar lagi, subjek berkenaan kurang diminati.
Situasi ini menyebabkan ramai generasi muda melupakan asal-usul negara ini serta jasa para pahlawan dan pemimpin yang telah bersusah payah berjuang menuntut kemerdekaan.
Apakah faktor yang menyebabkan para pelajar kurang meminati subjek Sejarah? Di manakah silapnya?
Hasil pengamatan penulis, sejarah negara telah ditulis secara ringkas di dalam buku teks di sekolah bagi memudahkan pemahaman pelajar.
Untuk memahami lebih lanjut setiap kisah pejuang kemerdekaan seperti Tok Janggut, Datuk Bahaman dan Mat Kilau, ia memerlukan penceritaan daripada guru-guru.
Justeru itu, guru perlu memainkan peranan dalam hal ini bagi menarik minat pelajar untuk mengetahui sejarah.
Guru tidak boleh sekadar bercerita berdasarkan buku teks semata-mata, sebaliknya mengolahnya menjadi lebih menarik. Punca lain pelajar kurang berminat dengan subjek Sejarah adalah kerana ia membosankan dan tidak mempunyai sebarang manfaat kepada diri.
Stigma seperti ini perlu dibuang dalam diri masyarakat termasuk golongan dewasa. Memetik kata-kata angkasawan Amerika Syarikat, Calr Sagan: “You have to know the past to understand the present.”
Daripada ayat tersebut, jelas menunjukkan kepada kita bahawa sejarah perlu dipelajari untuk memahami keadaan semasa. Sejarah menunjukkan bahawa pernah berlaku rusahan kaum yang teruk pada 13 Mei 1969. Peristiwa hitam tersebut telah mencorakan negara pada hari ini.
Jadi kita perlu mengambil iktibar daripada sejarah itu dengan menjaga keharmonian kaum dan tidak mudah terpengaruh dengan hasutan sesetengah pihak yang cuba memecah-belahkan kita. Salam merdeka ke-67.














