MENGAMBIL tahu tentang keadaan Tanah Melayu semasa penjajahan British adalah sangat penting bagi generasi baharu pada hari ini memahami sejarah kemerdekaan negara.
Secara amnya, sebelum kedatangan British di Tanah Melayu, sudah wujud dua kawasan atau demografi yang utama iaitu kawasan pusat pentadbiran kerajaan dan kawasan tempat tinggal penduduk tempatan.
Kawasan pusat pentadbiran kerajaan menjadi tumpuan pentadbiran, pusat perdagangan, pusat perkembangan agama Islam dan sebagainya.
Jika mengambil kerajaan Melayu sebagai contoh, pusat pentadbiran kerajaan pada waktu itu menjadi pusat tumpuan para pedagang dan disediakan pelbagai kemudahan buat para pedagang.
Antaranya ialah gudang penyimpanan barangan, tempat tinggal dan lain-lain lagi.
Kawasan yang menjadi tempat tinggal penduduk tempatan pula ialah kawasan pedalaman, kawasan di pinggir-pinggir sungai dan kampung-kampung.
Di seluruh Tanah Melayu pada peringkat awal, telah lahir beberapa penempatan di tebing-tebing sungai dan kawasan pedalaman. Perkampungan ini wujud di tebing-tebing sungai kerana ia memudahkan sistem pengangkutan dan perhubungan.
Mereka jalankan kegiatan pertanian, perikanan dan pungutan hasil-hasil hutan untuk kegunaan harian. Keadaan ini kekal hingga menjelang abad ke-19 apabila penempatan masyarakat Tanah Melayu masih lagi bertumpu di sepanjang sungai.
Kedatangan British telah mewujudkan perbezaan pembangunan ketara antara kawasan kampung dengan kawasan pusat tumpuan perkembangan ekonomi British.
Pengenalan ekonomi perlombongan bijih timah dan perladangan getah telah mewujudkan jaringan sistem perhubungan jalan raya dan jalan kereta api bagi menghubungkan kawasan berkenaan dengan pelabuhan.
Apabila perlombongan bijih timah dan perladangan getah semakin berkembang, lebih banyak jalan raya dan jalan kereta api dibina bagi menghubungkan sebuah bandar dengan bandar yang lain dan juga menghubungkan kawasan perlombongan dengan pelabuhan.
Keadaan ini secara tidak langsung telah mewujudkan bandar-bandar baharu seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping, Teluk Anson dan Seremban. Bandar-bandar ini juga telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran pihak British.
Antara negeri yang menjadi tumpuan pembangunan ekonomi British pada masa itu ialah Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor. Negeri-negeri ini merupakan pusat perlombongan bijih timah dan perladangan yang moden.
Usaha British membawa masuk buruh-buruh dari China dan India untuk bekerja di lombong bijih timah dan ladang getah telah merancakkan lagi proses pembandaran apabila kebanyakan buruh
Cina dan India mendiami kawasan bandar dan terlibat dalam sektor perniagaan.
Secara amnya, kaum Cina menjadi penyumbang utama kepada proses pembandaran berbanding kaum India. Negeri-negeri yang menjadi tumpuan orang Cina ialah di Selangor, Perak dan Negeri
Sembilan memandangkan negeri itu menjadi tumpuan perlombongan bijih timah dan penanaman getah.
Sementara itu, kawasan pedalaman dan kampung-kampung yang tiada apa-apa kepentingan kepada British tidak dimajukan dan ia kekal menjadi kawasan luar bandar yang tidak mempunyai apa-apa jaringan infrastruktur seperti jalan raya dan kereta api.
Ishak Haji Muhammad (atau Pak Sako) berpendapat, ketidakseimbangan kegiatan ekonomi yang wujud antara luar bandar dan bandar ini disebabkan oleh peranan British dan bangsa asing.
Kedatangan British dan pemodal asing telah menyebabkan masyarakat Melayu membawa diri dan menjadikan kawasan pedalaman yang jauh dari bandar sebagai tempat tinggal mereka.
Menurut Khoo Kay Kim, pengenalan ekonomi perdagangan serta kehidupan bandar pada masa itu merupakan perkara baharu bagi orang Melayu.
Justeru, kebanyakan penghuni bandar pada masa itu terdiri kalangan orang Cina dan India yang menjalankan kegiatan ekonomi dan perdagangan. Secara amnya, modenisasi dan pembandaran yang berlaku itu hanyalah sebahagian Semenanjung Tanah Melayu.
Ciri-ciri kawasan luar bandar pada masa itu bergantung kepada populasi iaitu penduduknya terdiri daripada orang-orang Melayu. Meski telah berlaku pembangunan dan pembandaran, orang
Melayu kebanyakannya masih tinggal di kawasan luar bandar.
Cerita tentang kemunduran masyarakat Melayu begitu banyak diperkatakan dalam akhbar dan majalah Melayu sekitar 1900 hingga 1940-an seperti akhbar Saudara, Majlis, Cenderamata, Majalah Guru, Panduan Guru dan Neracha.
Dalam aspek pendidikan, Majalah Guru telah menyatakan bangsa Melayu pada masa itu hidup dalam kemiskinan dan kesannya ialah orang Melayu tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya.
Memetik tulisan dalam Majalah Guru (1932), setengah daripada sebab-sebab kerendahan bangsa kita Melayu pada sangkaan bangsa asing adalah kerana kemiskinan bangsa kita pada harta benda itulah yang menjadi halangan bangsa kita Melayu pada mencapai pelajaran yang tinggi.
Bahkan, orang Melayu luar bandar turut mundur dalam sektor ekonomi terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.
Kemunduran orang Melayu luar bandar dalam bidang ekonomi ini turut dipaparkan dalam majalah Panduan Guru yang mengaitkan kemunduran Melayu luar bandar dalam sektor ekonomi disebabkan sistem ekonomi yang bersifat sara diri, tradisional serta terlalu bergantung kepada satu kegiatan ekonomi sahaja iaitu sebagai petani.
Orang Melayu juga anggap pekerjaan selain daripada petani sebagai bukan pekerjaan mereka. Dalam hal ini, bagi mereka, apa yang diwariskan oleh nenek moyang itulah pekerjaan mereka.
Justeru, dapat dilihat orang Melayu secara keseluruhannya tinggal di kampung-kampung menjalankan aktiviti pertanian seperti bercucuk-tanam, menanam padi, getah, ubi, keladi, buah-buahan serta menternak ayam, lembu, kambing dan sebagainya.














