fbpx
DANI mengakui, dia mula menyukai kaum sejenis sejak di bangku sekolah menengah sebelum berlanjutan hingga ke alam pekerjaan. – Gambar hiasan

Pemuda dibuang keluarga dek nafsu songsang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA sangka, kesilapan besar yang dibuat oleh jejaka itu kerana terlalu mengikut nafsu telah menyebabkan dia kehilangan ramai insan tersayang.

Dani (bukan nama sebenar) dibuang keluarga selepas ibu yang dikasihi kecewa kerana dia memilih untuk menjalin hubungan terlarang sehingga terlanjur bersama kaum sejenis.

Biarpun kini sedang dalam fasa perubahan dan berusaha mendekatkan diri dengan Tuhan, namun Dani masih belum mendapat kemaafan daripada keluarga, sekali gus menyebabkan dia menyesal serta mahu memutarkan semula masa.

Memulakan bicara, jejaka berusia 29 tahun itu berkata, dia mulai menyukai kaum sejenis sejak di bangku sekolah menengah.

“Nafsu saya terhadap lelaki bermula sejak tingkatan dua. Ketika itu, saya berasa cukup tertarik terhadap seorang kawan lelaki saya yang saya gelar sebagai N.

“N nampak begitu menarik di mata saya dan ketika itu, saya sukakannya lebih daripada seorang rakan.

“Namun, saya cuba menepis perasaan saya kerana bimbang dengan penerimaan masyarakat,” katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu menambah, perasaan suka terhadap kaum sejenis berlanjutan sehingga ke universiti.

Ini menyebabkan Dani mula menjalin hubungan dengan rakan sekuliahnya iaitu Amir (bukan nama sebenar).

Amir disifatkan sebagai seorang yang matang dan penyayang, sekali gus menyebabkan Dani jatuh hati terhadapnya.

“Amir merupakan cinta pertama saya. Kami kemaruk bercinta sehinggakan terlanjur.

“Terlalu lama menahan perasaan dan cuba menidakkan keinginan untuk menjalin hubungan sejenis, akhirnya saya berani melakukan perkara dimurkai Allah SWT bersama Amir kerana terlalu sayangkannya.

“Perbuatan tersebut berlanjutan, malah sampai ke satu tahap, kami turut bertukar-tukar pasangan dengan pasangan sejenis lain untuk rasai benda baharu,” dedah Dani.

Kehidupan zaman belajarnya dipenuhi noda, namun Dani tidak langsung menganggap perbuatannya itu salah. Malah, dia seronok untuk terus melakukan dosa.

Apabila memasuki alam pekerjaan, gaya hidup Dani masih tidak berubah, malah dia semakin seronok melakukan perkara terlarang kerana berasa semakin bebas.

“Selepas saya memasuki zaman pekerjaan kira-kira empat tahun lalu, ramai rakan-rakan lelaki saya semakin berani dan secara terang-terangan mengakui suka kaum sejenis.

“Ini membuatkan saya berani dan tidak lagi menyembunyikan orientasi seksual saya yang songsang.

“Malah, ada ramai kenalan saya yang sudah berkahwin, namun masih sukakan kaum sejenis.

“Malah, sesekali mereka akan menghubungi saya untuk melakukan hubungan intim,” akui Dani.

Begitu pun, perbuatan Dani akhirnya terbongkar apabila salah seorang rakannya terserempak dengannya yang ketika itu sedang bermesra dengan pasangan lelaki di sebuah kedai makan.

Rakannya itu terus memberitahu perkara tersebut kepada kakak sulung Dani yang juga seorang guru agama di sebuah sekolah di selatan tanah air.

“Kakak merahsiakan perkara itu daripada ibu bapa saya kerana mahu mendapatkan penjelasan daripada saya sendiri.

“Saya mengaku kepada kakak tentang gaya hidup songsang saya.

“Kakak yang terlalu kecewa terus memaklumkan perkara tersebut kepada ibu bapa,” kata Dani.

Ibu bapa Dani yang merupakan orang terhormat di kampung benar-benar terkejut dengan perlakuan anak mereka.

Mereka juga tidak menyangka anak yang dididik sejak kecil telah menconteng arang ke muka keluarga.

Dani dibuang keluarga dan ibunya enggan mengakui lelaki berkulit sawo matang itu sebagai anaknya.

“Malah, ibunya mengharamkan susu yang telah diberikan kepada saya sebelum menghalau saya keluar dari rumah.

“Hati saya begitu hancur, namun saya akui semuanya berlaku kerana gagal menahan nafsu,” katanya.

Insiden itu telah menyedarkan Dani bahawa dia telah jauh terpesong dan perlu segera bertaubat.

Dani yang kini tinggal seorang diri di ibu kota sedang dalam proses bertaubat.

“Biarpun sukar, namun saya sanggup lakukan apa sahaja asalkan diterima semula oleh keluarga di kampung.

“Usia kita di dunia ini bukannya panjang. Saya sejujurnya amat takut sekiranya tidak sempat bertaubat sebelum nyawa diambil.

“Maka, saya menggunakan peluang yang ada ini untuk segera bertaubat dan berdoa agar boleh kembali semula ke pangkuan keluarga kelak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN