fbpx
Gambar hiasan

Pelari maraton pun boleh kena strok haba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Mereka yang terdedah kepada cuaca panas ketika melakukan aktiviti fizikal seperti fun run atau maraton ketika ini boleh diserang strok haba yang akan merosakkan sistem organ dalaman sekiranya tidak ditangani segera.

Pakar Perunding Kecemasan Hospital Putrajaya, Dr. Noorzilawati Ahmad berkata, situasi itu agak merisaukan kerana ada sahaja kes berkaitan cuaca panas terutamanya strok haba dilaporkan setiap minggu.

Katanya, kes berkaitan haba berlaku sehingga 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit yang datang ke jabatan kecemasan.

“Hampir 20 kes berkaitan cuaca panas dan lima daripadanya strok haba teruk diterima sejak April hingga Julai. Bulan Mei sahaja ada tujuh dan ia merupakan peningkatan 30 peratus berbanding April.

“Strok haba berlaku apabila suhu badan mencecah 40.5 darjah Celsius terutamanya mereka yang menyertai aktiviti fizikal seperti fun run atau maraton yang banyak diadakan ketika ini. Ia boleh mendedahkan peserta kepada bahaya,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sebelum ini Jabatan Meteo­rologi memaklumkan cuaca panas serta kering sejak Mei dijangka berlarutan sehingga pertengahan September.

ORANG ramai dinasihatkan supaya kerap minum air dan elak terdedah di luar ketika cuaca panas ketika ini. – GAMBAR HIASAN

Menurut Noorzilawati, kesan cuaca panas melampau akan menyebabkan seseorang itu kerap berpeluh sekali gus mengurangkan cecair dalam badan. Orang tua, individu stres dan mereka yang mengalami penyakit ter­tentu lebih berisiko mengidap­nya.

Tambahnya, jika tiada langkah pencegahan, seseorang itu mudah letih, kurang bertenaga, lemah otot atau kekejangan.

“Lebih teruk ia mengakibatkan dehidrasi, kerosakan organ badan seperti buah pinggang, otak, jantung dan hati,” katanya.

Sementara itu, Profesor Madya Perubatan Unit Kesihatan Awam, Jabatan Penjagaan Kesihatan Primer Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani membe­ritahu, 70 peratus kes strok haba boleh membawa maut.

“Mereka yang terkena akan pengsan pada peringkat awal selain koma dan tidak sedarkan diri. Ia boleh menyebabkan individu berkenaan pengsan pada peringkat awal, selain koma dan tidak sedarkan diri terutama bagi golongan komorbid.

“Ia terjadi kerana kegagalan organ dalaman. Selain itu, strok haba boleh mengakibatkan pe­nyakit bawaan makanan dan air seperti keracunan makanan, cirit-birit dan keletihan haba kerana dehidrasi,” katanya.

“Selain itu, penyakit kulit seperti ruam haba juga kerap dilaporkan. Demam denggi juga lebih mudah dijangkiti kerana peningkatan populasi nyamuk pada musim panas,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN