MINGGU lalu kita digemparkan berita seorang remaja berusia 14 tahun menyamar sebagai doktor di hospital kerajaan di Serdang.
Hebat remaja ini, kalau dia bersekolah dia di tingkatan 2, anak penulis pun tingkatan 2, tidak mungkin dia akan terlepas ‘jadi doktor’ di usia itu. Malangnya remaja itu sudah tidak bersekolah lagi.
Remaja itu menurut polis ada ‘gangguan fikiran’ kerana melakukan penyamaran di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang itu tanpa sebarang motif.
Menurut laporan Kosmo!, dia menggunakan identiti ibunya untuk berada di HSIS selama seminggu (sumber menyebut dua bulan) dan terkantoi penyamaran itu apabila mahu ke bilik pembedahan bagi membantu doktor pakar.
Tinggi betul keyakinan remaja ini, ada sumber menyebut dia sempat ambil darah pesakit, membuat tempahan ubat dan mengarahkan pesakit untuk imbasan sinar X sepanjang berada di situ.
Nasib baik tidak berlaku sebarang kecelakaan kepada kepada pesakit sepanjang ‘dirawat’ oleh doktor remaja itu.
Persoalan yang bermain di fikiran ramai orang termasuk media adalah, macam mana remaja di usia 14 tahun itu boleh yakin berada dalam kelompok kakitangan perubatan di hospital tanpa janggal.
Dia boleh memiliki pakaian kakitangan hospital (baju skrub) sendiri sama ada dia membeli dalam talian atau mengambil dalam simpanan hospital itu perlu disiasat polis.
Sudah tentu dia boleh menyebut terma-terma hospital seperti ‘attachment’, ubat-ubatan dan sebagainya ketika berurusan dengan pesakit dan bercakap dengan doktor lain sepanjang berada di situ.
Macam mana di usia begitu dia boleh melakukan semua itu tanpa motif tertentu selain daripada minat. Banyak persoalan perlu dirungkai.
Difahamkan remaja itu turut melakukan rondaan pesakit di wad berkenaan setiap pagi.
Sama ada dia terlalu minat dengan bidang kedoktoran atau gemar menonton drama Grey’s Anatomy, Dr. House atau The Good Doctor termasuk drama Korea, Doctor Slump perlu dijawab oleh pihak berkenaan.
Hanya polis boleh merungkaikan perkara itu kepada kejadian yang tidak pernah berlaku ini, menyamar jadi doktor tanpa niat untuk memudaratkan pesakit.
Sepatutnya dik, awak perlu pergi ke sekolah belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menjadi doktor perubatan.
Apa yang lebih membimbangkan adalah kelonggaran di hospital kerajaan sampaikan remaja itu boleh berada di hospital berlagak ‘doktor’.
Ada komen di media sosial menyatakan susahnya pelawat berjumpa pesakit jika bukan waktu melawat kerana kawalan keselamatan yang ketat tetapi doktor menyamar boleh lepas begitu sahaja.
Sudah tentu ada ‘kekurangan’ di situ, mana Menteri Kesihatan, mana Pengarah HSIS, setakat ini tiada yang buka mulut selain hanya kenyataan akhbar daripada Kementerian Kesihatan sahaja.
Tolonglah jangan tutup mata, isu ini sangat besar, remaja lolos jadi doktor sangat memalukan. – KOSMO! ONLINE














