fbpx
AUDRA aktif dalam persembahan teater sepanjang pengajian di MSU.

Audra hilangkan tekanan belajar melalui teater

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINAT seseorang di dalam sesuatu bidang selain akademik, kadangkala menyebabkan ada pihak menganggap ia akan mengganggu proses pembelajaran individu tersebut.

Bagi pelajar sekolah, situasi sedemikian mungkin menjejaskan tumpuan mereka untuk menimba ilmu.

Namun, bagi pelajar pusat pengajian tinggi, proses pembelajaran dan kokurikulum perlu berjalan seiring.

Menurut gadis yang kini sedang mengikuti Kursus Pra dan Asasi ‘Teaching English As Second Language’ (TESL) di Management & Science University (MSU), Shah Alam, Selangor, Audra’alya Erwan Siswanto, dia ingin berjaya dalam pelajaran dan bidang lakonan.

“Semuanya bermula sejak kecil, di mana saya amat meminati seniman hebat, Tan Sri P. Ramlee dan Biduanita Negara, Saloma.

“Filem dan lagu mereka amat menghiburkan dan tidak jemu ditonton dan didengar sehingga kini.

“Itu yang mendorong saya aktif dalam dunia lakonan sejak di bangku sekolah dan diteruskan sehingga ke peringkat universiti,” ulas gadis berusia 19 tahun berkenaan.

Dia yang mesra disapa Audra ketika ini sedang mengikuti kursus ‘fast track’ Pra TESL sebelum meneruskan pengajian peringkat ijazah kesusasteraan bahasa Inggeris.

Katanya lagi, di samping pengajian, dia juga meneruskan minat dalam bidang lakonan menerusi Kelab Teater Ceritera (KTC) MSU.

“Bidang lakonan menjadi pilihan saya untuk bergerak aktif dalam persatuan kerana telah lama meminatinya.

“Dunia lakonan bukan sahaja satu cabang seni, malah ia mampu membantu saya untuk ‘lari’ sebentar daripada dunia nyata yang penuh permasalahan.

“Sebagai pelajar, tekanan hidup berdikari dan jauh dari keluarga ada kalanya membelenggu minda.

“Apabila menyertai bidang lakonan, saya akan menjadi orang lain dan bukan diri saya mengikut watak diberikan sama ada antagonis atau protagonis,” katanya.

Audra yang kehilangan bapa, Erwan Siswanto Imam Hambali sejak beberapa tahun lalu berkata, ibunya, Wan Kamariah Wan Farid, 60, merupakan tulang belakang kepada dirinya selama ini.

Audra berkata, disebabkan ibunya bekerja dalam bidang perhotelan, dia sentiasa berpindah-randah ke beberapa negeri seperti Melaka dan Negeri Sembilan.

“Saya bersekolah rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Methodist dan Sekolah Menengah Perempuan Methodist Melaka sebelum melanjutkan pelajaran ke MSU.

“Pada zaman persekolahan, saya aktif dalam bidang sukan seperti lawan pedang.

“Lawan pedang memerlukan kita sentiasa fokus bagi menewaskan lawan,” katanya.

Gadis yang meminati penyanyi Adele dan Datuk Seri Siti Nurhaliza itu berkata, sukan lawan pedang ditinggalkan buat sementara ketika ini bagi mencapai cita-cita dalam bidang pelajaran.

Walaupun meminati dunia lakonan dan ingin menguasai semua aspek seni tersebut, namun dia bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang bahasa Inggeris pada suatu hari nanti.

“Bidang pelajaran memang penting untuk jaminan masa depan.

“Cita-cita saya sebagai pensyarah tetap menjadi keutamaan.

“Pada masa sama, saya ingin terus menguasai aspek lakonan, pengurusan pentas dan pengarahan,” ujarnya.

Audra yang menggemari masakan tomyam berkata, dia sentiasa memegang prinsip, setiap kerja perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan keputusan cemerlang.

Jika bekerja dalam kumpulan, dia ingin setiap ahli segera menyelesaikan tugas mereka agar tidak memberi kesan kepada matlamat yang ingin dicapai.

“Semasa di sekolah, saya merupakan konduktor koir. Disiplin semasa mengendalikan kumpulan tersebut saya jadikan pegangan.

“Kalau ada yang lambat menyelesaikan tugasan diberikan, saya sanggup melunaskannya untuk mereka,” ujarnya.

Mengulas mengenai perkembangan media sosial, Audra berkata, dia agak aktif di Instagram seperti remaja lain.Namun jelasnya, fokus utama adalah untuk mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif atau terkumpul (CGPA) terbaik sepanjang pengajiannya di MSU.

“Saya tiada kompromi dalam usaha menamatkan pelajaran dengan CGPA yang cemerlang. Zaman kecerdasan buatan(AI) ini hanya yang terbaik akan berjaya.

“Apa pun minat kita, jangan hampakan orang tua yang bersusah payah mencari nafkah membesarkan kita selama ini,” ujarnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN