KUALA TERENGGANU – Pengalaman ditipu sindiket scammer bukan sahaja membuatkan mangsa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit, malah turut mengalami penderitaan mental.
Ada mangsa yang hampir gila selepas kehidupan mereka musnah apabila kesemua duit simpanan lesap dalam sekelip mata.
Menceritakan pengalaman itu, seorang guru berusia 52 tahun dikenali sebagai Hashim, 52, berkata, kehidupannya kini berubah selepas menjadi mangsa penipuan lima tahun lalu sehingga kerugian RM200,000.
Menurut Hashim, semuanya bermula apabila dia menyertai satu skim pelaburan tidak wujud pada tahun 2019.
“Semua wang yang dilaburkan hangus begitu sahaja dan dalam masa sama, saya perlu juga langsaikan bayaran ansuran bulanan pembiayaan peribadi sebanyak RM2,100.
“Memang sukar untuk lupakan kejadian itu. Sebaik menyedari ditipu, emosi saya berkecamuk. Saya juga hampir gila sehingga tidak dapat menumpukan kepada tugas hakiki sebagai sebagai pendidik,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Tambah Hashim, ekoran kejadian itu dia terpaksa mendapatkan perkhidmatan pakar psikiatri bagi meredakan fikiran selepas kehilangan ratusan ribu ringgit akibat kesilapan sendiri.
“Saya rasa bersalah kepada keluarga kerana menghabiskan hampir keseluruhan simpanan di samping membuat pinjaman peribadi semata-mata mahu mengaut keuntungan berganda.
“Selepas lima tahun, emosi saya semakin baik walaupun masih ada rakan-rakan dan keluarga yang memandang sinis ekoran tindakan saya menyertai pelaburan itu,” ceritanya.
Menceritakan kejadian detik-detik dia ditipu sindiket scammer, Hashim mendakwa semuanya bermula selepas dia melihat iklan pelaburan yang didakwa patuh syariah di laman Facebook.
“Pelaburan itu menarik minat saya kerana ia menjanjikan keuntungan sehingga 20 peratus.
“Tambah meyakinkan saya, pelaburan tersebut dikatakan patuh syariah dan diuruskan organisasi yang diterajui orang alim,” dakwanya.
Di Kangar, Perlis, seorang guru wanita terpaksa menanggung sengsara selepas kerugian RM300,000 akibat pelaburan palsu yang disertainya.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Nur, 33, itu berkata, episod hitam dalam hidupnya itu telah memberi kesan emosi yang cukup berat sehingga membuatkan dia mengalami tekanan melampau.
“Memang tertekan kerana saya bukan sahaja hilang kira-kira RM300,000 tetapi juga terpaksa membayar hutang daripada pinjaman bank yang saya buat sebanyak RM240,000 antara Mac hingga April tahun lalu.
“Akibat kejadian itu, saya mempunyai komitmen hutang bank termasuk pinjaman peribadi dan pembelian rumah yang perlu dibayar iaitu kira-kira RM4,000 sebulan.
“Sebaik sedar diri ditipu, saya rasa seluruh kehidupan saya seperti sudah berakhir. Tiada apa-apa lagi yang tinggal sampaikan hubungan dalam keluarga menjadi tegang.
“Selama ini saya hanya dengar tentang kisah orang menjadi mangsa tipu, tetapi tidak sangka saya turut terjebak dalam penipuan ini,” jelasnya.
Di Melaka, seorang wanita terpaksa bekerja keras untuk mengumpul semula wang peninggalan arwah bapanya sebanyak RM10,000 yang lesap angkara sindiket scammer.
Menurut Liyana, 24, kejadian berlaku ketika dia masih menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi pada lima tahun lalu apabila dihubungi seorang lelaki yang mendakwa maklumat peribadinya dikesan telah digunakan untuk aktiviti penipuan.
“Dia minta kata laluan akaun bank dan kod pengesahan yang diterima kononnya bagi menguruskan semakan kemasukan wang dalam akaun.
“Disebabkan rasa takut untuk disoal siasat oleh polis, saya turuti semua arahan sehingga terpaksa menggunakan duit arwah bapa untuk membuat pembayaran,” katanya.
Jelasnya, disebabkan kejadian itu, fokus pengajiannya turut terjejas apabila terpaksa mempertimbangkan semula kursus yang akan diambil di peringkat ijazah sarjana muda.
“Saya dihantui rasa bersalah yang amat teruk sehingga memberi kesan kepada kesihatan mental dan terpaksa bergantung harap pada kakak dari segi kewangan untuk meneruskan pengajian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














