MARAN – Bagaikan padang pasir sayup mata memandang.
Begitulah keadaan Sungai Pahang di Kampung Pesagi, di sini yang mengalami keadaan kering kontang teruk ekoran musim kemarau sekarang.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! salah satu sungai daripada dua cabang sungai yang melalui tepi ‘pulau’ yang berada di tengah sungai itu kering kontang dengan hanya menampakkan pasir dan tanah.
Keadaan ini membolehkan orang ramai berjalan di dasarnya untuk ke ‘pulau’ yang terletak di tengah sungai, malahan kenderaan juga sudah boleh melalui pasir berkenaan yang sudah keras dan kering.
Ketua Kampung Pesagi, Abdul Rahim Yaakob berkata, meskipun baru seminggu cuaca panas melanda, namun keadaan sungai kering pada kali ini adalah yang terburuk apabila kawasan yang terjejas lebih besar.
Katanya keadaan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk, malah juga menjejaskan hampir 200 sangkar ikan yang ada di tepi sungai berkenaan.
“Apabila bermulanya kemarau terus air surut. Ini kali kedua tahun ini, tetapi keadaan sekarang lebih teruk lagi.
“Kejadian yang lepas ada lagi sangkar di dalam air, tetapi pada kali ini berada di atas pasir belaka dan kawasan kering semakin besar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, kejadian cabang Sungai Pahang berkenaan yang menampakkan dasar mula berlaku sejak tahun 90-an sedikit demi sedikit sehinggalah mengalami keadaan kering kontang ketara bermula 2019 sehingga kini.
Sementara itu seorang penternak ikan sangkar, Mohamad Khairulnizam Omar, 40, berkata, keadaan Sungai Pahang yang kering menyebabkan kira-kira 62 buah sangkar ikan miliknya terjejas dan berada di atas pasir.
Katanya, meskipun kawasan sangkar ikannya adalah di kawasan sungai yang agak dalam, namun kini sebahagiannya hanya ditenggelami air kira-kira tidak sampai paras lutut orang dewasa, manakala sebahagian lagi sangkar terpaksa dikosongkan.
“Semalam ikan saya mulai mati yang mana satu sangkar ikan tilapia dengan anggaran berat keseluruhan 400 kilogram mati, selain itu di sangkar lain terdapat juga sedikit demi sedikit ikan mati termasuk ikan patin,” ujarnya.














