fbpx
Pengunjung terdiri daripada pempengaruh merakam rafflesia sedang berputik di Pulau Tioman, Pahang.

Jejak sesumpah dan rafflesia di Tioman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

EKSPEDISI menjejak sesumpah dan rafflesia di Pulau Tioman, Pahang dimulakan dengan perjalanan menaiki pacuan empat roda (4×4) menempuhi laluan berbukit sebelum tiba di ‘pintu masuk’ hutan.

Di pintu masuk, para peserta yang terdiri daripada media dan pempengaruh diberikan sebatang kayu setiap seorang bagi membantu perjalanan dalam hutan nanti.

Turut menyertai ekspedisi adalah Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man serta Pengurus Besar Lembaga pembangunan Tioman, Datuk Idros Yahya.

Sebenarnya, laluan pendakian hutan hujan tropika tersebut tidak begitu mencabar jika dibandingkan dengan hutan-hutan lain di Pahang.

Buktinya, terdapat peserta yang menggunakan selipar sahaja dan mereka tidak berhadapan dengan sebarang kesukaran.

Sepanjang perjalanan, para peserta melepasi anak sungai kecil dan pokok-pokok bersaiz gergasi yang berusia lebih 100 tahun.

Menurut penolong jurutera Lembaga Pembangunan Tioman, Muhammad Zikri Zaini, laluan tersebut merupakan jalan lama yang menghubungkan Kampung Tekek ke Kampung Juara.

“Kami panggil laluan itu canopy walk walaupun tidak memiliki jambatan gantung seperti di Taman Negara.

“Jarak laluan antara Kampung Tekek ke Kampung Juara adalah lebih kurang enam kilometer,” katanya kepada Horizon.

Lebih kurang sepuluh minit perjalanan, peserta dihentikan untuk melihat sesumpah berwarna hijau yang sedang berehat pada ranting pokok.

Lumrah sifat sesumpah yang menyamai persekitaran menyebabkan para peserta memerlukan lebih masa untuk mengesan kelibatnya.

Selesai merakam gambar, perjalanan memburu rafflesia pula diteruskan dengan memasuki lebih jauh ke dalam hutan. Peserta dihentikan beberapa kali untuk melihat tumbuhan parasit yang menumpang di atas batang tetrastigma atau liliana itu.

Hutan di Tioman tidak diterokai secara komersial sekali gus menjadikannya kekal asli tanpa sebarang kerosakan.

Rupa rafflesia sangat mirip dengan kubis, kecuali permukaannya kusam, berwarna hitam kemerah-merahan dan berkulit.

Kongsi Muhammad Zikri, rafflesia yang dijumpai sudah mati kerana jangka hayat bunga-bunga tersebut adalah sekitar lima hingga tujuh hari sahaja.

“Tempoh tumbesaran bunga daripada tunas hingga berkembang mengambil masa lebih kurang sembilan hingga 12 bulan berdasarkan spesies yang berbeza.

“Tetapi ia berkembang selama lima hingga tujuh hari sahaja. Oleh itu, peluang pengunjung melihat rafflesia yang berkembang adalah mengikut nasib,” katanya.

Kelebihan hutan di Tioman adalah ia tidak diterokai secara komersial sekali gus menjadikannya kekal asli tanpa sebarang kerosakan.

Perkara tersebut menyumbang kepada kepadatan flora dan fauna yang masih ada di dalam hutan berkenaan.

Jika bernasib baik, spesies haiwan lain yang boleh ditemui ialah tupai gergasi, monyet ekor panjang dan pelanduk.

Ekspedisi yang memakan masa lebih kurang dua jam itu berakhir dengan para peserta patah balik ke pintu masuk.

Ujar Muhammad Zikri lagi, pengunjung disarankan mendapatkan perkhidmatan pemandu pelancong tempatan kerana mereka lebih arif terhadap selok-belok hutan.

“Para pelancong, terutama yang baru pertama kali memasuki hutan ini disarankan untuk tidak masuk secara bersendirian.

“Ini bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini daripada berlaku ketika meneroka hutan tebal ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN